Oleh : Ketua Unit Penerangan dan Penerbitan BKPJM
Kaherah, 23 Julai – Bermula pada 15 Julai, Hari Keluarga BKPJM 09 telah melabuhkan tirainya dengan penuh keceriaan ekoran khabar berita yang dinanti-nantikan oleh seluruh mahasiswa negeri Johor di Mesir khususnya bagi penuntut tahun 3 di kuliah Pengajian Islam, tahun 1 di kuliah Takhassus Al-Qiraat dan Kuliah Perubatan akhirnya muncul juga. Pada Malam Penutup program mega tahunan tersebut, Pegawai Hal Ehwal Pelajar Johor di Mesir, Ustaz Ahmad Hanif bin Naim berkata “Saya nak sampaikan berita gembira buat awak semua berkenaan zakat. Alhamdulillah, pada tahun ini semua mahasiswa Pengajian Islam yang memohon bantuan zakat Johor (pemohon baru) diluluskan dan kadar bantuan zakat meningkat kepada RM4000. Jadi tiada nama yang dibuang”.
Beliau dalam ucapan perasmian penutup program Hari Keluarga tersebut berkata lagi “Manakala pinjaman bagi mahasiswa perubatan, kuota penerima telah ditambah”. Ini sekaligus melegakan para pemohon pinjaman dari kuliah Perubatan. Beliau turut menambah “Cuma senarai nama penerima bantuan zakat dan pinjaman sahaja masih belum keluar. Saya jangkakan berkemungkinan pada bulan Ogos”. Beliau yang suka dianggap sebagai “Abang Long” di kalangan anak-anak negeri Johor yang menuntut di Mesir turut meminta agar kesemua pihak dapat menanti dengan sabar dan berdoa agar urusan berkenaan zakat ini dipermudahkan.
Pun begitu, Ustaz Ahmad Hanif turut mengambil peluang mengingatkan kesemua mahasiswa dan mahasiswi di Kuliah Pengajian Islam agar sentiasa mempertingkatkan usaha dan kegigihan dalam mencapai kecemerlangan akedemik. Beliau berharap semoga kenaikan kadar bantuan zakat untuk mahasiswa Pengajian Islam pada tahun ini dapat menjadi pencetus semangat daya saing mahasiswa di bumi Mesir ini khususnya dalam mendapatkan keputusan cemerlang di dalam peperiksaan masing-masing.
Manakala Yang Dipertua BKPJM, Ustaz Firdauz bin Noh ketika dihubungi berkata “Alhamdulillah, berita gembira ini kita sambut dengan rasa syukur dan saya berharap agar kesemua pihak dapat menanti dengan sabar dan berdoa agar urusan zakat ini mudah selesai”. Sebarang pertanyaan berkenaan bantuan zakat sila rujuk Pegawai Hal Ehwal Pelajar Johor Mesir (+2011 7952197), atau YDP BKPJM (+2010 6109675) atau Ketua Hewi BKPJM (+2019 3902994).

Tiada ulasan:
Catat Ulasan