Jumaat, 3 Julai 2009

Lensa Al-Jauhar di Hari Keluarga Jabatan Nuqaba' BKPJM 09

KAHERAH, 03 Julai – Asrama Pelajar Johor di Hayyu Thamin, Madinah Nasr hari ini kembali meriah apabila anak-anak negeri Johor Darul takzim di Bandaraya Kaherah ini berhimpun bersama bagi menjayakan sebuah program jalinan ukhuwah anjuran Jabatan Nuqaba BKPJM dengan kerjasama Lajnah Dakwah dan Tarbiyah BKPJM.

Program “Hari Keluarga Jabatan Nuqaba BKPJM 09” yang telah dijadualkan berlangsung selama dua hari itu bermula dengan majlis berbuka puasa beramai-ramai atau iftar jama’ie pada hari Khamis 02 Julai 2009 berterusan sehinggalah sebelum solat Jumaat 03 Julai 2009.

Selepas berbuka puasa, agenda program tersebut diteruskan dengan acara pertandingan kuiz antara kumpulan-kumpulan usrah mengikut mantiqah atau kawasan yang telah ditentukan. Acara bersifat santai itu dikendalikan oleh Urusetia Pengisian program, Ustaz Mohd Hidayatussaufi bin Mohd Khalid sebaik sahaja menunaikan Solat Maghrib secara berjemaah. Bermula dengan slot “kuiz Ihya’ussunnah”, pertandingan kuiz “Lukis, Jawab dan Menang” pula menyusuli sebelum diakhiri dengan slot “Apa Kata Ustaz?” yang berakhir kira-kira jam 11.30 malam semalam.

Di akhir acara, Ustaz Amaluddin bin Mohd Arshad, Badan Pengurus PMRAM yang turut hadir mengulas bahawa slot-slot yang disediakan pada pertandingan kuiz tersebut hendaklah dijadikan sebagai medan muhasabah diri sebagai pendakwah terutamanya bagi slot “kuiz Ihya’ussunnah” dan “Apa Kata Ustaz?”.

Sementara pada jam 03.00 pagi Jumaat, 03 Julai pula, program yang berkonsepkan usrah gabungan ini diteruskan lagi dengan qiyamullail beramai-ramai oleh para ahli usrah sebelum tazkirah subuh selepas itu. Manakala pada sebelah paginya pula, acara bergotong-royong membersihkan Rumah Johor diselitkan sebelum acara Riadah Mahabbah di kalangan ahli usrah yang hadir. Program Hari Keluarga Jabatan Nuqaba’ ini seterusnya diakhiri dengan sarapan ukhawi pada jam 10.00 pagi sebelum bersurai.

Sementara itu di peringkat mahasiswi pula, acara di sebelah pagi Jumaat itu telah diisi dengan

“Jaulah Mahabbah ke Zoo Giza” seawal jam 09.00 pagi. Konsep “ukhuwah sejati” yang ditekankan dalam setiap acara dalam program ini telah menarik minat para ahli usrah yang hadir untuk terus mengikutinya sehingga ke akhir program.

Mengulas perjalanan aturcara program yang berlangsung di sebelah malam 02 Julai tersebut, Pengarah Hari Keluarga Jabatan Nuqaba’ BKPJM merangkap Ketua Jabatan Nuqaba’ BKPJM, Ustaz Rasul bin Amat berkata “Walaupun kehadiran yang dilihat kurang memberansangkan iaitu hanya sekitar 50% sahaja daripada sasaran kita, tetapi Alhamdulillah, aturcara majlis kita berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang memuaskan daripada ahli usrah yang hadir”.

Manakala Yang Dipertua BKPJM, Ustaz Firdauz Noh pula menyatakan rasa sedikit kehampaan dengan sambutan daripada para ahli usrah terhadap program tersebut. “Para ahli seharusnya mengambil ihtimam serta dapat memberikan komitmen pada program-program seumpama ini agar konsep tarbiyah yang ingin dibawa melalui usrah ini dapat benar-benar dihayati” ujar beliau ketika diwawancara sebaik sahaja program tersebut berakhir.

Pun begitu, beliau turut mengucapkan tahniah buat Jabatan Nuqaba’ yang juga di bawah seliaan Lajnah Dakwah dan Tarbiyah BKPJM atas kesungguhan bagi menjayakan program murni seperti ini. Syabas dan tahniah juga buat kesemua ahli usrah yang turut menjayakan program usrah gabungan tersebut.

1 ulasan:

  1. Sambutan di hari kedua lagi hampeh.. sedih (selaku yang bersemangat di hari kedua).

    BalasPadam