Rabu, 6 Oktober 2010

Marhaban Serikan Sambutan Aidilfitri

 Kaherah,4 Oktober 2010 - Amalan berkunjung ke rumah-rumah sewa sambil melakukan marhaban dan bermaaf-maafan masih sinonim di kalangan mahasiswa Johor yang menuntut di Mesir setiap kali sambutan Aidilfitri.

Bagi meneruskan tradisi itu, Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor Mesir (BKPJM), tidak ketinggalan menghidupkan suasana Aidilfitri di sekitar Kaherah dengan mengadakan kunjungan ke rumah-rumah ahli pada 3 dan 4 Oktober.

Antara rumah-rumah yang dikunjungi adalah yang terletak di kawasan Hayyu Sabi', Hayyu A'syir, Zahra dan Hayyu Thamin.

Ketua Unit Dakwah Dan Tarbiah BKPJM, Ahmad Daniel Mohamad Hasan, berkata amalan berkunjung atau ziarah menziarahi sempena Aidilfitri menjadi aktiviti utama BKPJM bagi meneruskan kesinambungan itu untuk mengelakkan budaya itu hilang begitu saja.

Beliau juga berkata, kumpulan marhaban yang kebanyakannya terdiri daripada mahasiswa-mahasiswa yang baru tiba berpeluang mengunjungi dan berkenalan dengan mahasiswa-mahasiswa senior yang menetap di rumah-rumah sewa.

“Kumpulan marhaban kami terpaksa dipecahkan kepada dua kumpulan kerana jumlah rumah yang perlu dikunjungi agak banyak dan terletak berjauhan antara satu sama lain. Antara aktiviti yang dilakukan ialah berselawat dan berkenal-kenalan dengan tujuan mengeratkan lagi silaturahim antara pelajar baru dengan pelajar senior,"

Turut menyertai kunjungan marhaban sempena Aidilfitri ialah Yang Dipertua dan Ahli Jawatankuasa Tadbir BKPJM. - al jauhar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan