Rabu, 24 Oktober 2012

Mesyuarat Agung Tahunan BKPJM kali ke-30 berlangsung dengan jayanya



KAHERAH, 21 OKT 2012 – Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) BKPJM kali ke-30 telah berlangsung di dewan Wisma Darul Ridzuan (A), Hayyu Sabie’ pada 20 Oktober 2012. MAT kali ini merupakan program yang  julung-julung kalinya diadakan di luar premis Asrama Pelajar Johor.

Pada pukul 8.30 pagi, majlis perasmian dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran Al-Karim oleh adik Muhammad Hazim Hanis Bin Hanim. Seterusnya, ucapan pendahuluan oleh Pengarah Lajnah Khas Mesyuarat Agung Tahunan BKPJM kali ke-30, saudara Muhammad Arif Bin Hamzah. Kemudian, disusuli ucapan Yang DiPertua BKPJM, saudara Muhammad Yazid Bin Hanzir. Seterusnya, ucapan keramat dari Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) 2012, saudara Abdul Aziz Bin Ali.

Agenda mesyuarat diteruskan dengan sesi pengesahan minit mesyuarat lalu, pembentangan laporan gerak kerja dan aktiviti BKPJM sepanjang sesi 2011/2012 bagi setiap unit, pembentangan laporan  kewangan, cadangan dan muhasabah serta sesi perbahasan usul. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Yang DiPertua BKPJM saudara Muhammad Yazid bin Hanzir.

MAT kali ini, BKPJM menerima 2 usul yang telah dicadang dan dibahaskan bersama dan telah disepakati dan dipersetujui oleh ahli BKPJM. Usul yang pertama ialah “ Menyatupadukan anak-anak Johor di bawah wadah BKPJM dan menentang sebarang unsur perpecahan”. Manakala, usul yang kedua adalah “Mempertahankan hak-hak anak-anak Johor di Mesir”.

Usai pembubaran kepimpinan BKPJM sesi 2011/2012, Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya saudara Ahmad Danial bin Hassan  mengumumkan barisan calon Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) dan Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) yang menang tanpa bertanding dan calon AJKT dan HEWI kekal bagi sesi 2012/2013 .Mesyurat Agung Tahunan berakhir dengan acara cabutan bertuah, cenderahati kepada barisan kepimpinan 2011/2012 dan tayangan video program tahunan BKPJM sepanjang sesi 2011/2012.

Pihak Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) mengucapkan jutaan terima kasih di atas komitmen ahli dalam Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-30 ini. Tidak lupa juga kepada barisan AJK Pelaksana Lajnah Khas Mesyuarat Agung Tahunan serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini samada secara langsung ataupun tidak. Setinggi-tinggi penghargaan juga diberikan kepada Keluarga Pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) kerana sudi menyediakan tempat kepada kami untuk bersidang dan bermesyuarat. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan