Rabu, 22 April 2015

ZIARAH BAHNASA : Kearah Membentuk Mahasiswa Johor Yang Rabbani



        BAHNASA, 18 April 2015- Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir 2014/2015 sekali lagi telah berjaya melaksanakan program yang diberi nama ‘Jaulah Bahnasa’. Jaulah ini merupakan program ke-4 yang berjaya dilaksanakan di bawah anjuran Unit Sambutan dan Rehlah. Buat julung kalinya, program ini telah membawa ahli untuk menziarahi makam para Auliya’ dan Shuhada’ yang berada di sekitar kota Bahnasa yang selama ini dinanti-nantikan oleh ahli. Program ini juga berjaya dilaksanakan hasil kerja keras dan komitmen yang diberikan oleh ahli jawatankuasa kuasa yang terlibat. Seramai 45 orang peserta telah menyertai untuk mengikuti program yang dianjurkan ini.
  Peserta telah berkumpul seawal jam 5.00 pagi di rumah Johor Rabaah. Setelah kesemua peserta hadir dan berkumpul di rumah Johor Rabaah, mereka diarahkan untuk menaiki dan mula bertolak ke Bahnasa pada jam 6.00 pagi. Perjalanan ke kota Bahnasa telah dimulai  dengan bacaan doa yang dipimpin oleh ketua Unit Sambutan dan Rehlah, Muhamad Noor Shazmi bin Kamari. Semasa dalam perjalanan menuju ke kota Bahnasa, AJK yang bertugas, Mohammad Aminurrashidi Bin Mohd Azlan telah memberikan penerangan serba sedikit berkaitan kota Bahnasa.


            Menempuh perjalan selama hampir tiga jam, akhirnya peserta tiba di kota Bahnasa. Pada awalnya kesemua peserta berkumpul di dalam masjid untuk mendengar taklimat dan peringatan yang telah disampaikan oleh Ainuddin bin Abu jamil. Selesai taklimat, ziarah dari makam ke makam dimulai dari masjid Sheikh Ali Jummam sehingga berakhir di makam tujuh puteri. Pada waktu tengah hari, peserta diberi ruang untuk berehat dan menunaikan solat jamak fardu Zohor dan Asar.  Selesai solat, makan tengah hari pula dihidangkan.
            Setelah menziarahi maqam terakhir, peserta dibawa ke kawasan padang pasir yang luas dan lapang yang merupakan kawasan berlakunya peperangan pembukaan Kota Bahnasa. Ia merupakan kawasan terakhir yang sempat dilawati oleh para peserta sebelum bertolak semula ke Kaherah. Ziarah kali ini telah diakhiri dengan bacaan tasbih kifarah dan surah Al-Asr.

Secara keseluruhannya program ini telah berjaya dilaksanakan atas kerjasama anak-anak Johor yang membantu seca langsung atau tidak langsung. Semoga program in idapat memberikan engalaman yang baru buat para peserta dan menambah keimanan dan thaqafah sekaligus mengambil ibrah dari riwayat kehidupan para Aulia’ dan Syuhada’. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan