Terdapat persoalan di dalam kotak soalan berkenaan dengan bayar zakat kepada pusat zakat. maka ini jawapannya dlm mazhab Imam Syafie:-
Harta zakat ada terbahagi pada dua bahagian:
Bahagian pertama: Harta yang tersembunyi (Amwal Batinah) iaitu zakat emas perak (termasuk zakat harta), harta tersorok dalam tanah (rikaz) dan zakat fitrah.
Harta-harta seumpama ini boleh dibayar zakat dengan diberi terus kepada orang-orang yang berhak menerimanya tanpa melalui pemerintah. Pemerintah tidak boleh meminta tuan harta mengeluarkan zakat kepada pemerintah kecuali melihat tuannya tidak membayar zakat; maka ketika itu pemerintah hendaklah memerintahnya supaya mengeluarkan zakat kepada yang berhak.
Jika tuan harta tidak mahu mengeluarkan maka wajib imam menuntut zakat harta tersebut seperti mana wajibnya mencegah kemungkaran. Ini berdasarkan apa yang diucapkan oleh saidina Usman r.a ketika beliau berkhutbah di mimbar Rasulullah s.a.w:
Maksudnya: "Ini adalah bulan untuk kamu mengeluarkan zakat. Sesiapa yang ada hutang hendaklah dia lunaskan supaya hartanya bersih dari hutang dan dapat membayar zakat hartanya." (Riwayat Baihaqi - Sahih)
Harta ini boleh di wakilkan kepada pihak lain (individu atau agensi swasta) untuk diserahkan kepada pihak yang layak (asnaf yang lapan) , diserahkan kepada pemerintah dan boleh diberikan terus kepada yang layak tanpa perantara. Memberinya terus kepada penerima lebih baik dari diwakilkan. Diserahkan kepada pemerintah untuk mengagihkannya lebih baik dari diwakilkan kepada pihak lain.
Jika pemerintah itu adil maka lebih baik diberikan kepada pemerintah berdasarkan hadis mauquf dari Ibnu Umar r.a :
Menyerahkan zakat kepada pemimpin yang adil lebih baik dari mengagihkan dengan sendiri kerana bila zakat telah diberikan kepada pemerintah maka tanggung jawab pemilik harta sudah selesai walaupun pemerintah tidak menunaikan tanggungjawabnya untuk mengagihkan zakat.
Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas r.a:
Seorang lelaki berkata kepada Rasulullah s.a.w: " Apabila aku telah membayar zakat kepada wakilmu adakah aku telah lepas dari tanggung jawab ku (dalam zakat) kepada Allah dan Rasulnya?"
Rasulullah s.a.w menjawab:
Maksudnya: "Ya. Jika kau sudah membayar zakat kepada wakilku maka engkau telah lepas dari tanggungjawabmu kepada Allah dan RasulNya. Engkau akan mendapat pahala zakat dan jika zakat tidak diagihkan kepada yang berhak maka dosanya kepada yang orang yang melakukan perkara tersebut." (Riwayat Ahmad)
Adapun jika diagihkan sendiri dikhuatiri diserahkan kepada orang yang tidak layak. Lagipun pemerintah yang adil lebih mengetahui priority bagi penerima-penerima zakat. Kalau pemimpin yang zalim hendaklah diagihkan sendiri.
Bahagian kedua: Harta yang nampak (Amwal Zahirah) iaitu zakat binatang, tanaman, buah-buahan dan harta galian. Jika pemerintah tidak memintanya maka pemilik boleh mengagihnya sendiri. Jika pemerintah memintanya maka wajib diberikan kepada pemerintah sekiranya pemerintah yang adil. Ini adalah berdasarkan suruhan Allah kepada pemerintah:
Maksudnya: "Hendaklah kamu ambil zakat daripada harta-harta orang Islam..." (103: at-Taubah)
Kalau rakyat enggan maka pemerintah boleh memerangi mereka dan menghukumnya.
Adapun sekiranya pemerintah itu zalim dalam mengagihkan zakat maka pemilik harta boleh mengagihkannya sendiri atau diberikan kepada pemerintah. Mengagihkan sendiri lebih baik. Ini sekiranya pemerintah zalim itu tidak mewajibkan kepada rakyatnya untuk membayar kepada mereka.
Jika pemerintah zalim itu meminta dengan cara mewajibkan maka wajib dibayar zakat ini (amwal zahirah) kepada pemerintah.
Kewajipan kepada pemerintah untuk melantik pemungut-pemungut zakat kerana Rasulullah s.a.w mengutuskan Umar bin Khattab untuk memungut zakat (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Rujukan: Al-Muktamad Fil Feqhis Syafie oleh Dr Muhjammad Zuhaili.