Memaparkan catatan dengan label LDT. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label LDT. Papar semua catatan

Selasa, 12 Januari 2010

Artikel: Taubat Sang Pemalas


“Terima kasih ustaz. Azam saya tahun ini, saya mahu hadir lebih kerap lagi ke majlis ilmu. Nak berubah!” kata seorang anak muda.


Beliau hadir ke salah satu program saya baru-baru ini.

“Alhamdulillah. Baguslah begitu. Semoga istiqamah,” saya memberi semangat.

“Ustaz tahu kenapa saya nak berubah?” tanyanya kepada saya tanpa diminta.

“Kenapa?” saya tidak tahu apa yang saya tidak tahu.

“Saya kasihan tengok orang macam ustaz!” ujar beliau.

“Kasihan macam mana? Ustaz gembira sahaja. Berceramah sentiasa lebih seronok daripada mendengar ceramah. Bukankah erti hidup pada memberi!” saya menjawab.

“Betul tu. Cuma saya terfikir sesuatu. 20 orang pelajar yang sepatutnya belajar, bertungkus-lumus menjadi AJK mengatur program. Banyak susah payah yang terpaksa mereka hadapi. Mereka kena mesyuarat untuk cari idea supaya program ini menarik perhatian dan tidak stereotaip. Mereka kena fikir bab makanan dan jamuan. Mereka tak cukup tidur dan keletihan…” kisah anak muda itu.

“Itu kan bagus. Latihan dan peluang mendapat pahala” saya mencelah.

“Itu baru mereka. Ustaz pula kena buat persediaan. Buat macam-macam slaid. Tinggalkan isteri, tinggalkan anak-anak. Musafir jauh-jauh. Nak kata sebab duit, saya yakin berapa sangatlah duit yang ustaz dapat. Tapi ustaz datang juga. Dan ceramah berjam-jam dengan penuh semangat” sambungnya lagi.

“Rutin yang menyeronokkan” saya menyelit.

“Semuanya kerana nak bagi orang macam saya ni sedar. Dapat ilmu, dapat petunjuk. Berpuluh-puluh orang malah beratus yang bersusah payah untuk saya. Tiba-tiba saya lebih selesa lepak di bilik main game atau tidur sahaja. Ustaz rasa patut tak Allah bakar saya dalam Neraka kerana malas dan degil saya?” soalnya dengan nada serius.

“Allah Maha Pengampun” saya menjawab.

“Maha Pengampun kepada orang yang tidak pernah minta ampun?” tanya anak muda itu.

Saya terdiam.

“Pada saya, setiap kali ada program di kampus, ada 1001 pengorbanan yang berlaku untuk menjayakannya. Golongan yang tak endah dengan program itu adalah manusia yang kufur nikmat. Kalau nanti masuk Neraka pun, semua orang akan kata, memang patut pun! Sebab itu saya takut ustaz. Saya janji pada diri sendiri untuk tidak lagi mensesiakan majlis ilmu terutamanya yang diatur khusus untuk orang macam saya. Kaum pemalas!” katanya.

Antara sedih dan terharu, hinggap pula di hati saya perasaan lucu.

“Tahu takpe!” hati berkata.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Sumber: Klik Sini

Penulis merupakan juru runding latihan sepenuh masa. Layari web rasmi beliau www.saifulislam.com

Ahad, 3 Januari 2010

Jenazah Allahyarham Hidayatussaufi selamat dikebumi

MERSING: Jenazah Allahyarham Mohd Hidayatussaufi bin Md Khalid telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Air Merah, Mersing sekitar jam 12.30 tengahari waktu Malaysia. Jenazahnya yang dibawa terus dari Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru setelah menghembuskan nafas yang terakhir sekitar jam 4.15 pagi waktu Malaysia.

Segala urusan solat jenazah dan pengkebumiannya berjalan dengan lancar dan ramai yang mengunjung termasuk sahabat-sahabat lepasan Universiti Al Azhar. Cuaca agak panas, namun ketika jenazah diturunkan dari van, hujan gerimis mengiringi perjalanan ke tanah perkuburan. Didoakan agar Allahyarham mendapat syahid di sisi Allah SWT.

Justeru, pihak BKPJM akan mengadakan Solat Jenazah Ghaib di Dewan Asrama Pelajar Johor Rab'ah selepas solat fardhu Maghrib. Bagaimanapun jika ada sebarang perubahan pihak BKPJM akan memaklumkan kemudian. - aljauhar



Gambar ehsan: Ustaz Syafiq Zulakifli

Khamis, 12 November 2009

Kem Latihan Pengucapan Umum Kali Pertama Berjaya Mencapai Objektif

KAHERAH, 12 November 2009: Lajnah Dakwah Dan Tarbiah BKPJM 09/10 telah mengadakan Kem Latihan Pengucapan Umum. Kem diadakan bertujuan untuk memupuk kemahiran ahli dalam pengucapan umum. Program kali ini dihadiri oleh Al-Fadhil Ustaz Haji Ahmad Hanif Bin Haji Naim, Pegawai Kebajikan Pelajar Johor Mesir, Ustaz Basir Bin Mohamed, YDP BKPJM 09/10, Ustazah Khairunnisa Bte Zulkarnain, Ketua HEWI BKPJM 09/10, beberapa AJKT dan AJK HEWI BKPJM 09/10, serta puluhan ahli BKPJM yang terdiri daripada pelajar baru dan lama.

Program dimulakan selepas solat Maghrib dengan bacaan Ratib Al-Haddad yang diketuai dan dipengerusikan oleh Ustaz Khairul Anwar Tajudin, Ketua Lajnah Dakwah Dan Tarbiah BKPJM 09/10. Selesai bacaan ratib, pengerusi majlis menjemput Al-Fadhil Ustaz Hanif untuk memberikan sedikit nasihat berkaitan pengucapan umum.

Seterusnya, pengerusi majlis menjemput penceramah, Ustaz Mohd Nur Bin Ahmad untuk memberikan ceramah dengan tajuk Al-Quran. Ceramah yang diberikan selama lebih kurang 30 minit berkisar tentang isi kandungan Al-Quran, tafsir sebahagian Al-Quran, dan kelebihan membaca Al-Quran. Ceramah yang diberikan sangat menarik. Selesai ceramah, pengerusi menjemput ustaz Ahmad Daniel Bin Hassan dan Ustaz Muhammad Shafie Bin Musni untuk memberikan sedikit komentar berkaitan ceramah.

Seterusnya, pengerusi menjemput Al-fadhil Ustaz Hanif untuk memberikan sedikit komentar dan seterusnya kalam taujihat kepada penceramah dan pengkritik. Majlis seterusnya ditangguhkan bagi memberi laluan Solat Isya’ dan Kelas Mukjam Asasi yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Zaki Md Noor.

Program ini yang diadakan buat julung-julung kalinya oleh LDT BKPJM 09/10 memberi impak yang besar, baik kepada pendengar mahupun penceramah sendiri. Input yang diberi tidak terhad kepada ilmu agama sahaja tetapi juga ilmu praktikal pengucapan umum. Program seperti ini sangat bermanfaat dan InsyaAllah akan diteruskan dalam minggu-minggu akan datang. - aljauhar

Jumaat, 3 Julai 2009

Lensa Al-Jauhar di Hari Keluarga Jabatan Nuqaba' BKPJM 09

KAHERAH, 03 Julai – Asrama Pelajar Johor di Hayyu Thamin, Madinah Nasr hari ini kembali meriah apabila anak-anak negeri Johor Darul takzim di Bandaraya Kaherah ini berhimpun bersama bagi menjayakan sebuah program jalinan ukhuwah anjuran Jabatan Nuqaba BKPJM dengan kerjasama Lajnah Dakwah dan Tarbiyah BKPJM.

Program “Hari Keluarga Jabatan Nuqaba BKPJM 09” yang telah dijadualkan berlangsung selama dua hari itu bermula dengan majlis berbuka puasa beramai-ramai atau iftar jama’ie pada hari Khamis 02 Julai 2009 berterusan sehinggalah sebelum solat Jumaat 03 Julai 2009.

Selepas berbuka puasa, agenda program tersebut diteruskan dengan acara pertandingan kuiz antara kumpulan-kumpulan usrah mengikut mantiqah atau kawasan yang telah ditentukan. Acara bersifat santai itu dikendalikan oleh Urusetia Pengisian program, Ustaz Mohd Hidayatussaufi bin Mohd Khalid sebaik sahaja menunaikan Solat Maghrib secara berjemaah. Bermula dengan slot “kuiz Ihya’ussunnah”, pertandingan kuiz “Lukis, Jawab dan Menang” pula menyusuli sebelum diakhiri dengan slot “Apa Kata Ustaz?” yang berakhir kira-kira jam 11.30 malam semalam.

Di akhir acara, Ustaz Amaluddin bin Mohd Arshad, Badan Pengurus PMRAM yang turut hadir mengulas bahawa slot-slot yang disediakan pada pertandingan kuiz tersebut hendaklah dijadikan sebagai medan muhasabah diri sebagai pendakwah terutamanya bagi slot “kuiz Ihya’ussunnah” dan “Apa Kata Ustaz?”.

Sementara pada jam 03.00 pagi Jumaat, 03 Julai pula, program yang berkonsepkan usrah gabungan ini diteruskan lagi dengan qiyamullail beramai-ramai oleh para ahli usrah sebelum tazkirah subuh selepas itu. Manakala pada sebelah paginya pula, acara bergotong-royong membersihkan Rumah Johor diselitkan sebelum acara Riadah Mahabbah di kalangan ahli usrah yang hadir. Program Hari Keluarga Jabatan Nuqaba’ ini seterusnya diakhiri dengan sarapan ukhawi pada jam 10.00 pagi sebelum bersurai.

Sementara itu di peringkat mahasiswi pula, acara di sebelah pagi Jumaat itu telah diisi dengan

“Jaulah Mahabbah ke Zoo Giza” seawal jam 09.00 pagi. Konsep “ukhuwah sejati” yang ditekankan dalam setiap acara dalam program ini telah menarik minat para ahli usrah yang hadir untuk terus mengikutinya sehingga ke akhir program.

Mengulas perjalanan aturcara program yang berlangsung di sebelah malam 02 Julai tersebut, Pengarah Hari Keluarga Jabatan Nuqaba’ BKPJM merangkap Ketua Jabatan Nuqaba’ BKPJM, Ustaz Rasul bin Amat berkata “Walaupun kehadiran yang dilihat kurang memberansangkan iaitu hanya sekitar 50% sahaja daripada sasaran kita, tetapi Alhamdulillah, aturcara majlis kita berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang memuaskan daripada ahli usrah yang hadir”.

Manakala Yang Dipertua BKPJM, Ustaz Firdauz Noh pula menyatakan rasa sedikit kehampaan dengan sambutan daripada para ahli usrah terhadap program tersebut. “Para ahli seharusnya mengambil ihtimam serta dapat memberikan komitmen pada program-program seumpama ini agar konsep tarbiyah yang ingin dibawa melalui usrah ini dapat benar-benar dihayati” ujar beliau ketika diwawancara sebaik sahaja program tersebut berakhir.

Pun begitu, beliau turut mengucapkan tahniah buat Jabatan Nuqaba’ yang juga di bawah seliaan Lajnah Dakwah dan Tarbiyah BKPJM atas kesungguhan bagi menjayakan program murni seperti ini. Syabas dan tahniah juga buat kesemua ahli usrah yang turut menjayakan program usrah gabungan tersebut.

Jumaat, 26 Jun 2009

Teman Simbol Kekuatan Diri

Oleh :* Syafiq Zulakifli

ISLAM menitikberatkan hubungan sesama manusia. Sebagai sebuah agama yang mementingkan hubungan sesama manusia ini, kita semestinya bersyukur kerana masih mempunyai teman dan rakan sebagai pemudahcara ketika berada di bumi Mesir ini.

Sebenarnya, teman dan rakan juga termasuk daripada salah satu amanah Allah yang harus ditunaikan haknya. Ada ketika mereka senang dan kita mengharapkan pertolongan mereka. Dan ada ketika mereka berada di dalam keadaan susah dan memerlukan sokongan dan dorongan daripada kita. Justeru, sebagai teman adalah menjadi tanggungjawab untuk melaksanakan tuntutan tersebut.

Menghormati teman dan menyempurnakan haknya menjadikan jiwa kita sebagai seorang Muslim yang memiliki iman sempurna. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana ia mengasihi dirinya sendiri.” (Hadis riwayat Muslim)

Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) yang diberi amanah untuk menjaga kebajikan seluruh mahasiswa Johor di Mesir sentiasa mengambil peranan penting di dalam memastikan hubungan sesama teman ini dijaga dengan sebaiknya.

Pelbagai program yang diadakan demi memastikan hubungan ini dijaga dan dipelihara sebagai asas kepada hubungan kekeluargaan itu sendiri. Program Hari Keluarga yang diadakan setiap tahun di Kaherah membuktikan bahawa semangat kekeluargaan ini tidak pernah diambil ringan oleh kepimpinan BKPJM.

Firman Allah Taala yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu adalah bersaudara.”

Justeru, apakah tanggungjawab kita sebagai ahli? Adakah hanya mementingkan diri sendiri tanpa memperdulikan ukhuwah Islamiah sesama kita di dalam persatuan ini?

Walau apapun, sebagai sebuah persatuan, BKPJM sentiasa berterima kasih kepada ahli yang sentiasa memberi sokongan dan pandangan yang bernas demi memastikan kesatuan yang dibina ini akan sentiasa diperkuatkan dengan bantuan daripada Allah Taala. Program-program sepanjang sesi ini yang diadakan di Kaherah memberikan satu input yang luar biasa apabila ramai ahli berkunjung ke Asrama Pelajar Johor di Kaherah. Contohnya, program bazar yang diadakan pada Mac lalu membuktikan bahawa ahli BKPJM sentiasa memberikan komitmen kepada setiap program persatuan.

Bukankah sejarah Islam juga telah menghidangkan kita dengan persoalan ukhuwah Islamiah ini? Lihatlah bagaimana Rasulullah menyatukan di antara kaum Muhajirin dan Ansar selepas penghijrahan Baginda dari Mekah ke Madinah. Rasulullah mementingkan hubungan sesama Muslim dan tidak mengambil jalan mudah mempersaudarakan dua buah kaum ini.

Allah menjelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang yang berhijrah (Muhajirin) ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang sudah diberi kepada orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat berhajat.”

Justeru, sebagai teman dan rakan yang berada di dalam naungan BKPJM, marilah sama-sama kita mengambil pengajaran penting sepanjang kita berada di bumi Mesir ini. Bukanlah semata-mata kita menjadikan persatuan tempat berketuk pintu hanya bertanyakan “Ustaz, zakat dah masuk belum?” tetapi lebih daripada itu adalah mepertautkan hubungan sesama rakan dan teman di dalam rumah kebahagiaan ini.

*Penulis merupakan Mantan AJKT BKPJM 2005-2006, Mantan Badan Pengurus PMRAM 2006, Mantan SUA Agung PMRAM 2007 dan 2008. Sekarang Ahli Lembaga Penasihat BKPJM dan PMRAM

Khamis, 26 Februari 2009

Ijtimak Perdana BKPJM 2009


KLIK PADA GAMBAR UNTUK LEBIH BESAR




Khamis, 11 Disember 2008

BKPJM anjur program Bicara Motivasi Dan Malam Munajat

KAHERAH-11 Disember: Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor Di Mesir, BKPJM melalui Unit Pengetahuan dan Bimbingan dengan kerjasama Lajnah Dakwah dan Tarbiyah menganjurkan satu program berbentuk motivasi dan amalan rohani untuk para ahli sempena peperiksaan semester pertama yang kian tiba.

Program ini dirancang khas bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan motivasi ahli supaya lebih bersedia untuk menghadapi peperiksaan nanti. Program yang bermula jam 5.00 petang dengan solat maghrib berjamaah, tazkirah dan solat hifzi, disertakan juga dengan program motivasi khas "talk show" yang bakal menampilkan panel yang tidak asing dikalangan ahli BKPJM iaitu TSUA PMRAM, Ustaz Hanafi Zulkapli dan Dr. Mohd Haikal Idris. Pengarahnya, Ustaz Zulfekri Abdullah mengharapkan agar seluruh ahli BKPJM dapat hadir untuk turut serta menjayakan program.

Selasa, 9 Disember 2008

Aidil Adha disambut meriah di APJ

KAHERAH- 8 Desember: Program korban sempena Sambutan Hari Raya Aidil Adha peringkat BKPJM meriah dan mendapat sambutan ahli. Program yang bermula seawal jam 9 pagi yang dimulakan dengan gotong royong menyembelih binatang korban hingga jam 10 malam yang diakhiri dengan jamuan.

Program ini mengumpulkan semua ahli BKPJM samaada baru atau pun lama. Gandingan ahli kuliah Al-Azhar dan Perubatan menyerlahkan kemesraan dan semangat kerjasama serta setiakawan melalui gotong royong ini. Rata-rata mereka berpuas hati dan mengharapkan semangat ini terus berkekalan demi kesinambungan BKPJM dan demi memastikan ukhuwwah yang dibina tidah mudah runtuh dengan anasir-anasir negatif. "saya berpuas hati, dan saya seronok" ujar ketua penasihat BKPJM, Ustaz Muhd Hairi Hamzah.

Sambutan yang menggalakkan daripada mahasiswa Fakulti Perubatan Johor mengambarkan misi BKPJM untuk mengeratkan ukhuwwah sesama ahli kian menghampiri kenyataan. "Mereka yang datang sebahagiannya dari Iskandariah, Mansurah dan lain-lain lagi, sehari lebih awal sebelum hari raya dan bermalam di Asrama Pelajar Johor untuk mengambil bahagian dalam gotong royong pagi ini dan saya gembira dengan penglibatan mereka" kata pengarah program, Ustaz Mohd Nur Bin Ahmad. Sementara itu, Ustaz Firdauz Noh, YDP BKPJM turut berpuas hati dan gembira dengan kerjasama ini.

Klik di sini untuk melihat gambar sepanjang program.

Isnin, 9 Jun 2008

Agihan Zakat: Lakukan sendiri atau pemerintah?

Oleh: Ustaz Salman Maskuri

Terdapat persoalan di dalam kotak soalan berkenaan dengan bayar zakat kepada pusat zakat. maka ini jawapannya dlm mazhab Imam Syafie:-

Harta zakat ada terbahagi pada dua bahagian:

Bahagian pertama: Harta yang tersembunyi (Amwal Batinah) iaitu zakat emas perak (termasuk zakat harta), harta tersorok dalam tanah (rikaz) dan zakat fitrah.

Harta-harta seumpama ini boleh dibayar zakat dengan diberi terus kepada orang-orang yang berhak menerimanya tanpa melalui pemerintah. Pemerintah tidak boleh meminta tuan harta mengeluarkan zakat kepada pemerintah kecuali melihat tuannya tidak membayar zakat; maka ketika itu pemerintah hendaklah memerintahnya supaya mengeluarkan zakat kepada yang berhak.

Jika tuan harta tidak mahu mengeluarkan maka wajib imam menuntut zakat harta tersebut seperti mana wajibnya mencegah kemungkaran. Ini berdasarkan apa yang diucapkan oleh saidina Usman r.a ketika beliau berkhutbah di mimbar Rasulullah s.a.w:

هذا شهر زكاتكم فمن كان عليه دين فليقض دينه حتى تخلص أموالكم فتؤدوا منها الزكاة

Maksudnya: "Ini adalah bulan untuk kamu mengeluarkan zakat. Sesiapa yang ada hutang hendaklah dia lunaskan supaya hartanya bersih dari hutang dan dapat membayar zakat hartanya." (Riwayat Baihaqi - Sahih)

Harta ini boleh di wakilkan kepada pihak lain (individu atau agensi swasta) untuk diserahkan kepada pihak yang layak (asnaf yang lapan) , diserahkan kepada pemerintah dan boleh diberikan terus kepada yang layak tanpa perantara. Memberinya terus kepada penerima lebih baik dari diwakilkan. Diserahkan kepada pemerintah untuk mengagihkannya lebih baik dari diwakilkan kepada pihak lain.

Jika pemerintah itu adil maka lebih baik diberikan kepada pemerintah berdasarkan hadis mauquf dari Ibnu Umar r.a :

ادفعوا صدقاتكم إلى من ولاه الله أمركم

Maksudnya: "Bayarlah zakat kamu kepada pemerintah kamu" (Riwayat Baihaqi - Hasan atau Sahih)

Menyerahkan zakat kepada pemimpin yang adil lebih baik dari mengagihkan dengan sendiri kerana bila zakat telah diberikan kepada pemerintah maka tanggung jawab pemilik harta sudah selesai walaupun pemerintah tidak menunaikan tanggungjawabnya untuk mengagihkan zakat.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas r.a:

Seorang lelaki berkata kepada Rasulullah s.a.w: " Apabila aku telah membayar zakat kepada wakilmu adakah aku telah lepas dari tanggung jawab ku (dalam zakat) kepada Allah dan Rasulnya?"

Rasulullah s.a.w menjawab:

نعم إذا أديتها إلى رسولي فقد برئت منها إلى الله ورسوله ولك أجرها وإثمها على من بدلها

Maksudnya: "Ya. Jika kau sudah membayar zakat kepada wakilku maka engkau telah lepas dari tanggungjawabmu kepada Allah dan RasulNya. Engkau akan mendapat pahala zakat dan jika zakat tidak diagihkan kepada yang berhak maka dosanya kepada yang orang yang melakukan perkara tersebut." (Riwayat Ahmad)

Adapun jika diagihkan sendiri dikhuatiri diserahkan kepada orang yang tidak layak. Lagipun pemerintah yang adil lebih mengetahui priority bagi penerima-penerima zakat. Kalau pemimpin yang zalim hendaklah diagihkan sendiri.

Bahagian kedua: Harta yang nampak (Amwal Zahirah) iaitu zakat binatang, tanaman, buah-buahan dan harta galian. Jika pemerintah tidak memintanya maka pemilik boleh mengagihnya sendiri. Jika pemerintah memintanya maka wajib diberikan kepada pemerintah sekiranya pemerintah yang adil. Ini adalah berdasarkan suruhan Allah kepada pemerintah:

Maksudnya: "Hendaklah kamu ambil zakat daripada harta-harta orang Islam..." (103: at-Taubah)

Kalau rakyat enggan maka pemerintah boleh memerangi mereka dan menghukumnya.

Adapun sekiranya pemerintah itu zalim dalam mengagihkan zakat maka pemilik harta boleh mengagihkannya sendiri atau diberikan kepada pemerintah. Mengagihkan sendiri lebih baik. Ini sekiranya pemerintah zalim itu tidak mewajibkan kepada rakyatnya untuk membayar kepada mereka.

Jika pemerintah zalim itu meminta dengan cara mewajibkan maka wajib dibayar zakat ini (amwal zahirah) kepada pemerintah.

Kewajipan kepada pemerintah untuk melantik pemungut-pemungut zakat kerana Rasulullah s.a.w mengutuskan Umar bin Khattab untuk memungut zakat (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Rujukan: Al-Muktamad Fil Feqhis Syafie oleh Dr Muhjammad Zuhaili.

Khamis, 20 Mac 2008

Maulid Ar Rasul 1429

Perhatian kepada semua ahli Johor.

Anda dijemput untuk sama-sama memeriahkan lagi Majlis Sambutan Maulidur Rasul pada hari ini,bagi memperingati Kekasih Allah junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Anda juga disarankan agar berpuasa untuk kita sama-sama berbuka puasa di Rumah Johor.

Tentatif progrtam pada hari ini adalah seperti berikut;

4.00-4.15p.m:

-Ucapan alu-aluan pengerusi majlis
-Bacaan ayat-ayat suci al-Quran sebagai pembuka majlis

4.15-5.45p.m:

-Bacaan berzanji yang akan diperdengarkan oleh;
1)Ustaz Mohd Faiz Abidin
2)Ustaz Mohd Hirzi Bin Bisman
3)Ustaz Shazrin Zikri Bin Ab Razak

-Marhaban yang akan diketuai oleh Ustaz Mior Muhammad Hazwan Bin Abdul Rani.
-Bacaan Qasidah yang akan diketuai oleh Ustaz Faizul Hadi B. Montalib

6.10-7.45p.m:

-Majlis berbuka puasa AJKT & HEWI BKPJM bersama ahli.
-Solat Maghrib berjemaah.

7.45-9.15p.m:

-Ceramah Maulidur Rasul yang akan disampaikan oleh Ustaz Hafiz Bin Mahmod (Ahli Lembaga Penasihat Keluarga Pelajar Kelantan Mesir KPKM)

Semua ahli dijemput hadir.

Ahad, 7 Oktober 2007

Badar Al Kubro BKPJM 1428

Majlis Badar Al Kubro
***
Tadarus dan Khatam Al Quran
***
Tazkirah Badar Al Kubro
***
Ifthor Jamai'e
***


Tarikh: 7 Oktober 2007
Hari: Ahad
Masa: 4 Petang
Tempat: Dewan Ibnu Sina, APJ

Ahli-Ahli BKPJM Dijemput Hadir!!!

Rabu, 8 Ogos 2007

Forum Perdana Israk wal Mi'raj

Forum Perdana Israk wal Mi'raj
(Edisi Taakhi Johor dan Perlis)

Hari:
Khamis

Masa:
8.30 malam

Tempat:
Dewan Ibnu Sina, Asrama Pelajar Johor

Ahli Penel:
YBhg Ustaz Redzuan Ishak, Yang DiPertua KPP

YBhg Ustazah Aida Jamian, Setiausaha Agung DPMI