Rabu, 1 Julai 2009

Thaqafah Kembali Rancak

Kaherah, 01 Julai – Menyambut kehadiran musim panas di bumi Mesir, Unit Pengetahuan dan Bimbingan Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir telah kembali rancak mengatur beberapa program ilmiah bagi meningkatkan tahap mutu thaqafah mahasiswa Johor di Mesir ini.

Bermula semalam, 30 Jun 2009, dengan pembentangan kertas kerja bertajuk Teknik Pembelajaran Bestari Subjek Al-Adab Wa An-Nusus oleh Ustaz Muhammad Shafiq bin Elias seterusnya diskusi kitab Ghiza’u Ruuhil-Insan, Mudawamatuhu ‘ala Tilawatil-Qur’an dan kitab Al-Adzan As-Syar’iy As-Sohih Kama Yajibu Adaa’uhu pada hari yang sama.

Slot diskusi kedua-dua kitab karangan Syeikh Abdul Adzhim Sya’ban ini dikendalikan oleh Ustaz Muhammad Shafiq bermula seawal jam 10 pagi sehingga waktu asar sebelum diikuti dengan pembentangan kertas kerja di atas. Metodologi pembentang yang menyelitkan beberapa rakaman video ilmiah dan kisah tauladan telah menarik minat para peserta untuk terus mengikuti program sehingga ke akhirnya.

Pihak BKPJM melalui Unit Pengetahuan dan Bimbingan mengucapkan ribuan penghargaan buat Ustaz Muhammad Shafiq bin Elias atas kesudian beliau mengendalikan slot diskusi dan pembentangan kertas kerja tersebut.

Sehubungan dengan itu, Unit Pengetahuan dan Bimbingan juga akan meneruskan beberapa lagi program ilmiah bagi mengisi program di musim panas ini antaranya, diskusi kitab Tahaluf Siyasi oleh Ustaz Salman Maskuri pada 07 Julai ini. Menurut Ketua Unit, Ustaz Zulfekri bin Abdullah, kesemua program ilmiah samada berbentuk thaqafah mahupun tafaqquh UPB akan dijalankan di Asrama Pelajar Johor, Hayyu Thamin berikutan masalah teknikal dan audio video di Rumah Johor Rab’ah.

Berhubung penganjuran kelas-kelas tafaqquh pula, beliau ketika dihubungi berkata, “Kita telah mendapat maklum balas daripada tenaga pengajar untuk menyambung semula kelas-kelas tafaqquh. Namun disebabkan program yang padat pada bulan Julai ini, kita akan susun semula dan akan dimaklumkan kemudian (berkenaan kelas tafaqquh)”.

Jumaat, 26 Jun 2009

Teman Simbol Kekuatan Diri

Oleh :* Syafiq Zulakifli

ISLAM menitikberatkan hubungan sesama manusia. Sebagai sebuah agama yang mementingkan hubungan sesama manusia ini, kita semestinya bersyukur kerana masih mempunyai teman dan rakan sebagai pemudahcara ketika berada di bumi Mesir ini.

Sebenarnya, teman dan rakan juga termasuk daripada salah satu amanah Allah yang harus ditunaikan haknya. Ada ketika mereka senang dan kita mengharapkan pertolongan mereka. Dan ada ketika mereka berada di dalam keadaan susah dan memerlukan sokongan dan dorongan daripada kita. Justeru, sebagai teman adalah menjadi tanggungjawab untuk melaksanakan tuntutan tersebut.

Menghormati teman dan menyempurnakan haknya menjadikan jiwa kita sebagai seorang Muslim yang memiliki iman sempurna. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana ia mengasihi dirinya sendiri.” (Hadis riwayat Muslim)

Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) yang diberi amanah untuk menjaga kebajikan seluruh mahasiswa Johor di Mesir sentiasa mengambil peranan penting di dalam memastikan hubungan sesama teman ini dijaga dengan sebaiknya.

Pelbagai program yang diadakan demi memastikan hubungan ini dijaga dan dipelihara sebagai asas kepada hubungan kekeluargaan itu sendiri. Program Hari Keluarga yang diadakan setiap tahun di Kaherah membuktikan bahawa semangat kekeluargaan ini tidak pernah diambil ringan oleh kepimpinan BKPJM.

Firman Allah Taala yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu adalah bersaudara.”

Justeru, apakah tanggungjawab kita sebagai ahli? Adakah hanya mementingkan diri sendiri tanpa memperdulikan ukhuwah Islamiah sesama kita di dalam persatuan ini?

Walau apapun, sebagai sebuah persatuan, BKPJM sentiasa berterima kasih kepada ahli yang sentiasa memberi sokongan dan pandangan yang bernas demi memastikan kesatuan yang dibina ini akan sentiasa diperkuatkan dengan bantuan daripada Allah Taala. Program-program sepanjang sesi ini yang diadakan di Kaherah memberikan satu input yang luar biasa apabila ramai ahli berkunjung ke Asrama Pelajar Johor di Kaherah. Contohnya, program bazar yang diadakan pada Mac lalu membuktikan bahawa ahli BKPJM sentiasa memberikan komitmen kepada setiap program persatuan.

Bukankah sejarah Islam juga telah menghidangkan kita dengan persoalan ukhuwah Islamiah ini? Lihatlah bagaimana Rasulullah menyatukan di antara kaum Muhajirin dan Ansar selepas penghijrahan Baginda dari Mekah ke Madinah. Rasulullah mementingkan hubungan sesama Muslim dan tidak mengambil jalan mudah mempersaudarakan dua buah kaum ini.

Allah menjelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang yang berhijrah (Muhajirin) ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang sudah diberi kepada orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat berhajat.”

Justeru, sebagai teman dan rakan yang berada di dalam naungan BKPJM, marilah sama-sama kita mengambil pengajaran penting sepanjang kita berada di bumi Mesir ini. Bukanlah semata-mata kita menjadikan persatuan tempat berketuk pintu hanya bertanyakan “Ustaz, zakat dah masuk belum?” tetapi lebih daripada itu adalah mepertautkan hubungan sesama rakan dan teman di dalam rumah kebahagiaan ini.

*Penulis merupakan Mantan AJKT BKPJM 2005-2006, Mantan Badan Pengurus PMRAM 2006, Mantan SUA Agung PMRAM 2007 dan 2008. Sekarang Ahli Lembaga Penasihat BKPJM dan PMRAM