Khamis, 1 Oktober 2009

3 Oktober 2009 tarikh permulaan sesi kuliah bagi Universiti Al - Azhar dan universiti - universiti di sekitar Mesir

Setelah sekian lama bercuti, kini sesi perkuliahan di Universiti Al Azhar akan membuka tirainya tidak berapa lama lagi. Tarikh 3 Oktober 2009 merupakan tarikh rasmi permulaan sesi perkuliahan Universiti Al Azhar serta universiti-universiti yang berada di sekitar negara Mesir. Kenyataan ini telah dibuat di beberapa akhbar terkemuka di Negara ini.

Justeru, pihak Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir mengucapkan selamat menjalani sesi baru perkuliahan untuk sesi 2009/2010. Pihak PMRAM juga mengharapkan agar semua mahasiswa/wi Malaysia memanfaatkan waktu yang sebaiknya untuk menimba sebanyak mungkin ilmu yang disampaikan oleh para pensyarah.

Selain itu, pihak PMRAM amat mengharapkan agar mahasiswa/wi tidak leka dan culas terhadap apa jua urusan pendaftaran sesi baru dan diharapkan agar dapat membuat urusan seawal mungkin bagi mengelakkan mengganggu waktu perkuliahan yang berjalan. Semoga dengan kehadiran sesi perkuliahan yang bakal menjelang ini dapat memberikan momentum terbaik untuk kita berjaya dunia dan akhirat. -www.pmram.org

Sabtu, 26 September 2009

3 Program Raya berjalan lancar

KAHERAH, 26 September 2009: Tiga program Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran BKPJM berjaya dilaksanakan. Rumah Terbuka Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin anjuran Unit Perumahan dan penghuni asrama tersebut berjalan dengan baik.

Sebaik sahaja selesai solat sunat Aidilfitri di Masjid Musa An Nusair di Hayyu Sabik, rumah terbuka tersebut dihadiri oleh ramai mahasiswa dan mahasiswi dari sekitar Kaherah. Kehadiran siswa-siswi baru kuliah perubatan juga sedikit sebanyak mengejutkan tuan rumah. Ini kerana kehadiran yang ramai diluar jangkaan mereka. Sehinggakan ada yang tak sempat menjamah jamuan hari raya.

Di hari raya ketiga, Gema Nostalgia Aidilfitri BKPJM berjalan dengan baik di Asrama Pelajar Johor di Rab'ah Al Adawiyah. Program anjuran bersama Pejabat Pegawai Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor ini dihadiri oleh sebahagian besar siswa-siswi dari kaherah dan juga muhafazah.

Program bermula dengan bacaan ayat suci Al Quran. Seterusnya ucapan dari Yang DiPertua BKPJM, saudara Basir Mohamed. Kemudia diselangi ucapan yang bersemangat oleh pemangku Naib Presiden III, Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan saudara Mohamad Azlan Hj Alias. Perasmian dilancarkan oleh Pegawai Kebajikan sendiri Al Fadhil Tuan Haji Ahmad Hanif Hj Naim.

Program tersebut tidak sunyi dengan celoteh dari saudara Syed Miftahul Ulum Syed Mustafa Kamal yang bergandingan pula dengan saudara Al Hidayat Khalid. Para ahli BKPJM yang hadir juga dihidangkan dengan tayangan istimewa hari raya.

Pada program tersebut juga, slot salam perpisahan dan pengiktirafan kepada siswa dan siswi yang tamat pengajian mereka. Saudara Muhd Hairi bin Hamzah diiktiraf sebagai Tokoh Pelajar BKPJM. Anugerah khas tersebut disempurnakan oleh Yang Dipertua sendiri dan diakhiri dengan upacara memotong kek gergasi.

Hari raya kelima pula, pihak Rumah Johor Abideen dengan kerjasama BKPJM menganjurkan Rumah Terbuka Abideen. Saban tahun ianya diadakan, namun kali ini mendapat kerjasama rasmi dari BKPJM dan orang perseorangan. Rumah terbuka ini, memberi ruang kepada siswa dan siswi melihat sendiri, bangunan pertama bagi anak-anak negeri Johor di Mesir. - aljauhar