Khamis, 18 Oktober 2012

IKHTITAM HEWI BKPJM 11/12 MENDAPAT SAMBUTAN BAIK




KAHERAH, 15 OKTOBER : Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) BKPJM 11/12 telah berjaya melaksanakan program Ikhtitam HEWI di Musolla Wisma Kelantan Hayyu Sabiek. Antara pengisian menarik yang telah diadakan adalah talkshow tarbiatul aulad, ‘’Dari Hati ke Hati’’ (slot muhasabah dan cadangan ahli kepada pimpinan), ‘’SAHARA’’ (sambutan hari lahir) serta tayangan video mengenai isu-isu semasa di negara-negara Islam.

Program ini mendapat sambutan yang amat baik dari ahli dan disertai oleh 50 orang akhawat yang terdiri daripada pelajar-pelajar pengajian Islam dan sains kesihatan. Para mutazawwijin juga tidak ketinggalan menyertai program ini sehingga ke akhirnya. Di samping pelajar-pelajar Kaherah, ahli-ahli dari Iskandariah, Zaqaziq dan Mansurah juga turut hadir. Kehadiran 15 orang ikhwah memeriahkan lagi talkshow tarbiatul aulad yang disampaikan oleh 3 orang panel terkemuka di bumi Mesir  iaitu Ustaz Zamzami Bin Che Daud, Ustazah Ummi Kalsom Bt Uyod dan Ustazah Dayang Noraini Bt Awang Damit Yahya.

Melalui slot ‘’Dari Hati ke Hati’’, ahli-ahli telah mengutarakan pelbagai cadangan dan muhasabah yang  membina terhadap gerak kerja pimpinan HEWI BKPJM sesi 2011/2012.
Program diteruskan lagi dengan sambutan hari ulang tahun ahli-ahli akhawat yang lahir pada bulan Mac hingga bulan Ogos (SAHARA). Sesi memotong kek dan mengambil gambar juga disambut meriah. Majlis diakhiri dengan bacaan doa wehdah beramai-ramai dan sedikit jamuan.

“Dengan terlaksananya program Ikhtitam ini dapat mencapai objektif utamanya iaitu mempertingkatkan mutu kerja pimpinan HEWI  secara khususnya dan menentukan hala tuju BKPJM pada masa hadapan sekaligus menjayakan usul HEWI PMRAM memperanankan mahasiswi berkredibiliti” ujar pengarah program Saudari Amira Afina Bt  Jamaludin.

Kami berharap agar aktiviti-aktiviti seperti ini dapat diteruskan lagi bagi memastikan perpaduan dan kebajikan ahli-ahli BKPJM terus dipelihara.

Rabu, 3 Oktober 2012

PELAJAR DIARAH KELUAR DARI ASRAMA


Rabaah el-Adawiyah, 2 Okt 2012 – Tanggal 30 September, penghuni Asrama Pelajar Johor telah digemparkan dengan notis pemberitahuan daripada pihak pengurusan Rumah Johor di mana sebahagian pelajar yang tinggal di Asrama Pelajar Johor Rabaah diarahkan untuk mengosongkan bilik masing-masing.

Notis tersebut mengejutkan para penghuni kerana mereka diarahkan untuk berpindah dalam jangka masa yang amat singkat. Notis ditampal oleh pihak pengurusan Rumah Johor pada petang 30 September disusuli arahan keluar dari asrama pada 1 Oktober tanpa menyediakan kediaman sementara kepada pelajar-pelajar.

Rentetan masalah yang berlaku, Yang DiPertua BKPJM, saudara Muhammad Yazid Bin Hanzir telah menghubungi Pengurus Rumah Johor, Haji Maulan bin Asmoni demi mendapatkan penjelasan dan meminta beliau melanjutkan tempoh bagi para penghuni yang berkenaan. Walaubagaimanapun usaha tersebut tidak mendapat kerjasama yang baik daripada pihak berwajib.

BKPJM mengharapkan agar pihak pengurusan Rumah Johor dapat bertindak dalam menangani masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar tersebut serta dapat menemukan solusi secepat mungkin.