Selasa, 17 Disember 2013

Ziarah Makam Sekitar Kaherah.




KAHERAH, 17 DIS 2013- Unit Sambutan dan Rehlah BKPJM 12/13 telah mengadakan program Ziarah Makam para Sahabat dan Aulia di sekitar Kaherah bersempena dengan imtihan yang bakal menjelang. Program ini telah disertai oleh adik-beradik BKPJM, ikhwah pada 7 Disember 2013 yang bertolak dari Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin ,manakala disebelah akhawat telah diadakan pada 14 Disember 2013 yang bertolak dari Asrama Pelajar Johor Rabaah.

    Penyertaan bagi ikhwah seramai 42 orang, manakala akhawat pula seramai 39 orang dan disertai oleh 2 pasangan mutazawijin serta 2 orang musyrif. Antara objektif program ini dilaksanakan adalah untuk mengambil iktibar dan ibrah dari sejarah kehidupan para Aulia Allah dan para Salafussoleh dalam konteks sebagai seorang hamba Allah di muka bumi ini. Selain itu, program ini juga dapat meningkatkan kesungguhan dan kesedaran mahasiswa dan juga mahasiswi dalam usaha mereka menuntut ilmu di bumi Mesir, disamping itu, mereka juga mengambil peluang untuk bertawasul dan berdoa dalam menghadapi imtihan yang bakal tiba. Sekaligus ianya juga merapatkan ukhuwah sesama adik-beradik BKPJM.

   Program ini bermula pada pukul 8.00 pagi dengan penerangan ringkas dari Ustaz Ainuddin bin Abu Jamil mengenai pengertian bertawasul, kaedah dan kelebihannya. Manakala penerangan untuk setiap maqam dan tempat-tempat bersejarah telah diterangkan oleh Ustaz Syakirin b. Mohd Khalid dan Ustaz Usamah bin Aris. Antara tempat- tempat yang telah dilawati ialah Maqam Saidatina Nafisah, Maqam Imam Syafie, Maqam Imam A'toillah Assakandari, Maqam Imam Sya'rani, Maqam As-syahid Hassan Al-Banna dan lain-lain. Sebanyak 30 maqam telah berjaya diziarahi oleh peserta ikhwah dan manakala untuk akhawat sebanyak 26 maqam sahaja.

   Secara keseluruhannya, program ini berjaya dilaksanakan dengan jayanya dengan komitmen yang sangat baik dari adik-beradik BKPJM. BKPJM mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung ataupun tidak dalam menjayakan program ini. Semoga usaha ini dipandang oleh Allah SWT dan ukhuwah ini diribat dengan ikatan mahabbah kerana Allah. Keberjayaan program ini secara langsung merealisasikan misi BKPJM dalam menjayakan slogan 'BKPJM KELUAGA KITA'.





Selasa, 26 November 2013

BKPJM Prihatin Isu Pengurusan Zakat

KAHERAH, 25 NOVEMBER 2013: Berikutan beberapa aduan yang diterima daripada ahli-ahli  yang masih gagal menerima bantuan zakat tajaan Majlis Agama Islam Negeri Johor(MAIJ), Yang DiPertua Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir 2012/2013, Saudara Mohamad Syakirin Bin Mohd Khalid telah mengadakan pertemuan bersama mereka yang berkenaan pada hari khamis yang lalu.

Hasil perjumpaan tersebut mendapati ada dikalangan mereka yang telah membuat rayuan dan ditemuduga sebanyak tiga kali. Hasil temuduga yang diterima mendukacitakan dan masih lagi sama. Tambahan pula, para pemohon ini diminta untuk menghadiri temuduga buat kali yang keempat.

Di sampingitu, BKPJM juga mendapat aduan bahawa, syarat atau kriteria yang ditetapkan sering berubah setiap sesi temuduga yang dijalankan. BKPJM turut merasa kesal dengan hasil keputusan temuduga yang telah dikeluarkan kerana hanya sebahagian kecil dari permohonan sahaja yang diluluskan.


Oleh yang demikian, pihak BKPJM yang komited dan cakna dengan kebajikan ahli akan membawa hal ini kepada pihak yang bertanggungjawab bagi menyelesaikan permasaalahan yang berlarutan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Hal ini bertepatan dengan usul BKPJM pada sesi ini iaitu “Bersama berjuang  mempertahankan hak anak-anak Johor di Mesir”.

"KEFAHAMAN MELAHIRKAN GERAKAN MEMANGKIN KESATUAN"