Selasa, 22 November 2016

BERITA : Kena Bijak Pilih Kawan


Oleh : Nurul Fadhilah Binti Mohd Jais

KAHERAH,19 November 2016 - Unit Pengetahuan dan Bimbingan BKPJM telah menjalankan program Senat Fakulti dan Motivasi yang berlangsung di Musolla Wisma Sultan Muhammad V, Hayyu Sabik. Program tersebut telah melibatkan semua lapisan anak-anak Johor di Mesir sama ada pelajar baru mahupun yang lama.

Antara objektif utama program ini diadakan adalah untuk memberi penerangan kepada mahasiswa/wi dalam setiap subjek pengajian mengikut jurusan fakulti pengajian. Program ini juga dianjurkan sebagai persediaan kepada mahasiswa/wi sebelum menduduki pengajian di Al-Azhar dan memberi semangat dan motivasi kepada mahasiswa/wi Johor dalam menghadapi imtihan di samping terus merapatkan ukhuwah di kalangan anak-anak Johor di Mesir.

Program dimulakan dengan slot motivasi kecemerlangan yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Faiz Bin Ehsan, mahasiswa MA (master) American Open University. Antara intipati pengisian beliau ialah dengan menyeru hadirin supaya menjadi mukmin yang kuat kerana ia lebih dicintai Allah SWT dan jauhkanlah sifat lemah dalam diri. Orang yang kuat adalah yang sanggup menahan letih semasa berada dijalan Allah. Tambahannya lagi, seorang penuntut ilmu mestilah menjaga masa dan merancang teknik belajar dengan baik.

Program diteruskan dengan perkongsian minda daripada para graduan Universiti Al-Azhar tahun 2016. Seramai 4 orang graduan telah tampil untuk bersama berkongsi teknik belajar berkesan kepada sidang pendengar yang hadir. "Tips yang paling penting untuk berjaya ialah perlu pandai pilih kawan". Ujar Ustaz Fidaiy dalam perkongsian beliau. Menurutnya pemilihan kawan yang betul akan dapat memastikan seseorang mahasiswa untuk berjaya. Program seterusnya diakhiri dengan ucapan YDP BKPJM 16/17. YDP menegaskan kepada sidang hadir supaya tidak sombong dengan ilmu kerana menuntut ilmu itu wasilah untuk mendapatkan redha Allah SWT. - Wartawan BKPJM

Ahad, 20 November 2016

DBUB - Ahli Berpuas Hati Dengan BKPJM

KAHERAH, 14 NOVEMBER 2016 -
"Program DBUB ini telah membuka peluang kepada ahli untuk menyuarakan muhasabah, pendapat serta cadangan mereka secara terbuka". Ujar Widad Nabila Daud. Widad ketika ditemubual oleh wartawan BKPJM dilihat sangat berpuas hati dengan program DBUB anjuran BKPJM yang membolehkannya berdialog secara langsung bersama barisan kepimpinan BKPJM.

Selain itu, Nadiah Khairuddin turut melahirkan rasa sukacita kerana program DBUB ini dapat mengeratkan lagi ukhuwah di kalangan anak-anak Johor di Mesir. Menurutnya ahli BKPJM dapat bersama-sama membantu barisan kepimpinan sesi 16/17 dalam membawa pembawaan BKPJM pada sesi kali ini. Bahkan, keberkesanan program DBUB pada sesi kali ini telah dapat mengeratkan lagi ukhuwah sesama ahli di samping dapat mengenal ahli BKPJM secara menyeluruh. - Wartawan BKPJM.

DBUB - Pelancaran kempen-kempen BKPJM Meriah.


Oleh : Wartawan BKPJM

KAHERAH, 15 Nov 2016 - Telah berlangsung 5 pelancaran kempen dalam unit-unit BKPJM. Pelancaran dimulakan dengan حملة نهج المتفوقين yang dikelolakan oleh UPB BKPJM. Objektif pelancaran kempen tersebut adalah khusus untuk meningkatkan pencapaian Akademik dan Thaqafah ahli BKPJM.

Seterusnya dilancarkan pula pertandingan 'Casa Impian' yang diberi nafas baru yang mana sebelumnya dikenali sebagai 'Qasrul Ahlam'. Pertandingan yang dikelolakan oleh LPR BKPJM ini akan berjalan selama 3 bulan. Kempen infak cintamu LE2 diteruskan lagi oleh UKK BKPJM sebagai pendorong kepada ahli-ahli BKPJM untuk bersedeqah dan beramal jariah.



UDT BKPJM juga tidak ketinggalan dalam melancarkan kempen Biah Solehah. UBS dalam kempennya terus istiqamah dalam meletakkan 6 pembawaan dalam membentuk Biah Solehah dikalangan anak-anak Johor di Mesir. Turut berlangsung adalah penyampaian walimah pelantikan AJK JATA BKPJM. JATA BKPJM seperti diketahui merupakan nadi dalam pergerakan BKPJM di Mesir. - Wartawan BKPJM.

DBUB - Sanah Helwah BKPJM !

Oleh : Wartawan BKPJM

KAHERAH, 15 Nov 2016 - Pada 12 November yang lalu BKPJM telah mencapai usia 46 tahun. Satu acara sambutan ulang tahun BKPJM telah diadakan bersempena dengan program DBUB anjuran BKPJM. Dalam program tersebut turut diperkenalkan visi dan misi baru bagi kepimpinan BKPJM menerusi ucaptama YDP BKPJM dan Ucaptama Ketua HEWI BKPJM. - Wartawan BKPJM.

Rabu, 30 Disember 2015

PENERANGAN ETIKA MUSYRIF

KAHERAH, 15 NOVEMBER 2015 - Unit Kebajikan dan Kemanusiaan BKPJM sesi 2015/2016 telah mengadakan satu program dibawah Unit Musyrif iaitu Penerangan Etika Musyrif. Program ini bertujuan memberi penerangan dan penjelasan kepada ahli berkenaan etika penggunaan musyrif serta menjawab pelbagai persoalan mengenai musyrif dan keselamatan di Mesir. Program dimulakan pada jam 7.30 malam dengan penerangan definisi musyrif, sejarah dan kepentingan penggunaan musyrif yang disampaikan oleh saudara Norhalim Bin Lokman selaku ketua Unit Kebajikan Dan Kemanusiaan BKPJM sesi 15/16. Program diteruskan dengan pembentangan etika musyrif oleh Ketua Musyrif, Mohammad Amirnurrashidi Bin Mohd Azlan. 




Sesi soal jawab berkenaan musyrif turut diadakan bagi memberi peluang kepada ahli untuk bertanya dan melontarkan pandangan berkenaan sistem musyrif dan keselamatan di Mesir khususnya bagi para akhawat. Majlis disempurnakan dengan ucapan Yang diPertua BKPJM sesi 15/16, Ustaz Muhammad Ariff Bin Haron seterusnya merasmikan dan melancarkan kempen "Jom Musyrif" bagi memupuk kesedaran diperingkat ikhwah mahupun akhawat berkenaan kepentingan menjadi dan menggunakan musyrif. Turut diadakan penyampaian watikah perlantikan musyrif kepada musyrif yang dilantik mengikut kawasan di sekitar Kaherah. Program berjalan lancar dengan dihadiri oleh ahli dan anak-anak Johor di Mesir. Semoga dengan penganjuran program sebegini dapat meningkatkan lagi kebajikan dan keselamatan anak-anak Johor di Mesir dan seterusnya mencegah perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Program berakhir pada jam 9.30 malam.




Rabu, 11 November 2015

TRANSIT ABOU ILA' - Persediaan Hadapi Musim Sejuk

KAHERAH, 31 Oktober 2015 – Badan Kebajikan Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) di bawah Unit Sambutan dan  Rehlah telah mengadakan lawatan ke Abu Ila' , gedung pakaian musim sejuk yang sudah tidak asing lagi dalam kalangan pelajar Malaysia di Mesir. Lawatan telah dijalankan pada 31 Oktober yang lalu. Lawatan ini bertujuan sebagai persediaan buat para ahli, terutama pelajar-pelajar baru untuk menghadapi musim sejuk yang bakal tiba tidak lama lagi.

Sebuah bas mini telah ditempah yang memuatkan 47 orang siswa, termasuk diiringi fasilitator muzakarah berkelompok, Ustaz Yassarudin bin Samsul. Rombongan ini telah bertolak jam 4.45 petang  dan tiba di Abu Ila'  pada jam 5.45 malam setelah melalui lalu - lintas yang agak sesak.




Para peserta rombongan sangat teruja sepanjang lawatan berlangsung. Pelbagai perkara baru telah mereka pelajari terutama cara berkomunikasi dalam berjual – beli dengan masyarakat Arab Mesir. Ikatan Ukhuwah persaudaraan sesama ahli juga semakin erat.

“Lawatan ini sememangnya aktiviti tahunan yang dijalankan oleh Unit Sambutan dan Rehlah  bagi memastikan kebajikan ahli – ahli BKPJM sentiasa terjaga,” ujar Saudara Aizat Bin Shahadan selaku Ketua Unit Sambutan dan Rehlah pada sesi 2015/2016.

Rombongan selamat  tiba di Asrama Rumah Johor Hayyu Thamin pada jam 9.30 malam.

" Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan "

"Kebajikan dan Perpaduan"

"Setia bersamamu BKPJM"

Ahad, 27 September 2015

SAIED '15 : Pengorbanan, Perjuangan, Kesatuan

                                    
KAHERAH, 24-26 September 2015 – Badan Kebajikan Pelajar- Pelajar Johor saban tahun menganjurkan program Sambutan Hari Raya Aidiladha dan pada tahun ini ia telah diberi nama Sambutan Hari Raya Eiduladha (SAIED ’15) dengan tema ‘Pengorbanan, Perjuangan, Kesatuan’. Perasmian program ini     bertempat di Dewan  Asrama Pelajar Johor Thamin. Pengarah bagi program SAIED '15 kali ini adalah Ustaz Mohd Zahid bin Mohd Nor.
Pada 23 September 2015, laungan takbir hari raya dan perutusan hari raya Aidiladha telah disampaikan oleh Ustaz Usama bin Aris di APJ Rabaah. Keesokan harinya, telah diadakan proses penyembelihan dan melapah di APJ Thamin. Sebanyak 45 ekor kambing dan biri-biri serta seekor unta telah selamat dikorbankan.  
Majlis perasmian SAIED ’15 dimulakan dengan ucapan Yang di-Pertua BKPJM, Saudara Usama  bin Aris dan ucapan Pegawai Atase Pendidikan Johor di Mesir, Ustaz Khairi bin Jalalluddin sekaligus    merasmikan program SAIED ‘15. Majlis diteruskan dengan dengan pengisian khas oleh Ustaz Mohd Kamal  bin Said yang merupakan mantan Pengetua Madrasah Arabiah Kluang.

Agenda majlis diteruskan dengan slot santai yang telah dikendalikan oleh Saudara Ayub bin Azizol dan Saudara Mohd Syaza bin Jamal. Antara slot yang menarik adalah persembahan qasidah oleh anak-anak Johor, pentomen berkisarkan keluarga  dan tayangan movie khas.  Turut hadir bersama-sama dalam program Yang DiPertua dari seluruh Badan Kebajikan Anak Negeri serta Ketua-ketua HEWI dan beberapa orang ahli.             
Program diakhiri dengan bacaan surah Al-Asr dan tasbih kifarah serta jamuan istimewa Hari Raya Aidiladha.
Akhir sekali, harapan seluruh badan pelaksana program SAIED ‘15 agar Zulhijjah  pada kali ini lebih bermakna kepada anak-anak Johor yang menyambut Hari Raya di perantauan disamping menaut kembali ikatan mahabbah sesama adik beradik BKPJM sekaligus membajai semangat berkorban dan bekerjasama dalam diri anak-anak Johor.
                     

Jumaat, 14 Ogos 2015

MARHABAN AIDILFITRI ’15 : Amalan Ziarah Dalam Kalangan Mahasiswa Johor


KAHERAH, 8, 9 & 11 Ogos 2015 – Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir 14/15 dibawah Unit Perumahan (Lajnah Kebudayaan Kesenian dan Sukan) telah menganjurkan satu program iaitu MARHABAN AIDILFITRI ’15 yang telah diadakan di beberapa buah tempat iaitu Hayyu Sabi’e, Hayyu Asyir, Darrasah dan Abdeen. Program tersebut  telah melibatkan hampir keseluruhan daripada kalangan anak-anak Johor di mesir.

Marhaban tersebut telah  diadakan selama 3 hari, pada hari pertama Marhaban telah dimulakan di rumah Ustaz Syuaib bin Sangkrah di Hayyu Sabi’e dan seterusnya diikuti rumah Ansar, Tanjung dan Muafakat di Hayyu Asyir. Dan pada hari kedua Marhaban diteruskan lagi di rumah Ustaz Shahrul Ramzi Hanis di Darrasah dan rumah Johor Abdeen di Abdeen. Pada hari yang terakhir Marhaban telah diadakan di rumah Pegawai Atase Pendidikan Johor di Mesir, Ustaz Adam bin Ibrahim di Rabaah.

Antara tujuan program ini dilaksanakan adalah untuk mengeratkan lagi ukhuwah antara satu sama lain dan juga dapat menziarahi adik-beradik BKPJM yang tinggal selain di Asrama Pelajar Johor. Turut menyertai program ini adalah pelajar-pelajar baru dan lama yang berada di Kaherah. Program ini mendapat sambutan yang amat baik mengalakkan daripada anak-anak Johor di Mesir.

Semoga program seperti ini dapat mengeratkan tali silaturrahim antara semua mahasiswa Johor di Perlembahan Nil.


Ahad, 9 Ogos 2015

WIFI : Memperkenalkan Mahasiswa/wi Baru Kepada BKPJM

KAHERAH, 4 Ogos 2015- Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir dibawah Lajnah Khas Unit Sambutan Mahasiswa Baru 2015 5 telah mengadakan program 'We Are Family' (WiFi '15) khusus untuk mahasiswa baru. Antara objektif program tersebut adalah bertujuan memperkenalkan Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir kepada mahasiswa/wi baru dengan lebih mendalam sekaligus berkenal-kenalan antara mahasiswi lama dan baru.
Aturcara majlis bermula selepas maghrib dengan pengisian 'Ngeteh Jauhari (Special Edition) yang menampilkan 3 orang panel iaitu Penasihat BKPJM, Ustaz Mohd Helmi bin Norhisham dan Ustaz Mohd Ariff bin Hamzah serta Yang DiPertua BKPJM, Ustaz Usamah bin Aris. Ngeteh Jauhari pada kali ini berkonsepkan 'special edition' dengan pembentangan sejarah BKPJM dan dibuka sesi soal jawab kepada panel. Majlis diteruskan lagi dengan mengisi borang BKPJM serta pembahagian muzakarah berkelompok bagi mahasiswa mahasiswi baru.


Akhirnya, majlis diakhiri dengan perasmian penutup oleh Yang DiPertua BKPJM serta penyerahan sumbangan daripada Ikatan Lepasan Mahasiswa Azhar (ILMAM) dan BKPJM kepada pelajar mahasiswa dan mahasiswi baru.
Justeru itu, kami mengharapkan sumbangan yang diberikan dapat dimanfaatkan oleh mahasiswa mahasiswi baru.
BKPJM optimis untuk menyalurkan kebajikan anak-anak Johor di bumi Mesir bertepatan dengan moto BKPJM iaitu kebajikan dan perpaduan


Khamis, 23 Julai 2015

SELOKA 15 : Menggamit Nostalgia, Mengubat Kerinduan



KAHERAH, 19 Julai 2015 – Badan Kebajikan Pelajar- Pelajar Johor saban tahun menganjurkan program Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan pada tahun ini ia telah diberi nama Selaut Kasih di Aidilfitri (SELOKA ’15) yang berkonsepkan nostalgia Aidilfitri dibawah tema ‘Seindah Syawal SEMANIS ukhwah’. Perasmian program ini  bertempat di Dewan  Kutub Sittah, Asrama Pelajar Johor Rabaah. Objektif yang ingin dicapai daripada program ini ialah membuka peluang untuk mengumpulkan semua anak-anak Johor di seluruh perlembahan Nil dan menggembalikan nostalgia perayaan Aidilfitri di Mesir disamping menghayati hari kebesaran Islam sekaligus mengambil ibrah daripadanya.

                Program ini dimulakan dengan majlis perasmian SELOKA ’15 dengan bacaan ayat suci Al Quran, dan dimulakan dengan ucapan pengarah seloka ’15, Saudara Mohd Azrul bin Raf’an, Yang di-Pertua BKPJM, Saudara Usama  bin Aris dan ucapan Pegawai Atase Pendidikan Johor di Mesir, Ustaz Khairi bin Jalalluddin sekaligus merasmikan program SELOKA ‘15.

                Agenda majlis diteruskan dengan slot santai yang telah dikendalikan oleh Suadara Syafiq bin Azlan dan Saudara Mohd Syaza bin Jamal. Antara slot yang menarik adalah persembahan nasyid khas oleh anak-anak Johor, cabutan bertuah dari Ahli Jawatankuasa Tadbir dan AJKT Hal Ehwal Wanita Islam BKPJM, slot kotak beracun, penyampaian hadiah bagi pertandingan sepanjang hari raya iaitu baju nostalgia, pertandingan kad raya dan anyaman ketupan, penyampaian hadiah pertandingan Qasrul Ahlam dan tayangan telemovie khas. Turut hadir bersama-sama dalam program Yang DiPertua dari seluruh Badan Kebajikan Anak Negeri serta Ketua-ketua Hewi dan beberapa orang ahli.
                   
                Program diakhiri dengan bacaan surah Al-Asr dan tasbih kifarah serta jamuan istimewa Hari Raya Aidilfitri.

                Akhir sekali, harapan seluruh badan pelaksana program SELOKA ‘15 agar Syawal  pada kali ini lebih bermakna kepada anak-anak Johor yang menyambut Hari Raya di perantauan disamping menaut kembali ikatan mahabbah sesame adik beradik BKPJM sekaligus memperteguh kesatuan yng telah lama terbina atas dasar Al-Quran dan Sunnah.
                 

Isnin, 6 Julai 2015

SYANTOH RAMADAN : Menghidupkan Bulan Ramadan Dengan Amalan Memberi dan Berkebajikan

KAHERAH, 1-2 JULAI 2015 – Badan Kebajikan  Pelajar-Pelajar di Mesir 2014/2015 telah mengagihkan ‘Syantoh Ramadan’ sempena program IHTIRAM di bawah kerjasama Unit Kebajikan & Kemanusiaan BKPJM 2014/2015. Objektif  Syantoh Ramadan ini diadakan ialah bertujuan membantu ahli membuat persediaan kedatangan Ramadan. Di samping itu, ianya diadakan bagi  mengeratkan silaturrahim antara pimpinan dan ahli sekaligus menyalurkan kebajikan kepada ahli-ahli Johor.

Agihan ‘Syantoh Ramadan’ ini berlangsung selama 2 hari bermula hari Rabu sehingga Khamis. Wakil Ahli Jawatan Kuasa Tadbir dan AJKT Hal Ehwal Wanita Islam Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir telah mengagihkan  Syantoh Ramadan ke sekitar Asrama Pelajar Johor, rumah sewa, dan mutazawwijin. Syantoh Ramadan diagihkan ke sekitar Asyir, Sayeeda Zainab, Abbasiyah, Hussein pada hari pertama. Manakala pada hari kedua,Syantoh Ramadan  diagihkan ke sekitar Asrama Pelajar Johor Rabaah & Tamim, rumah-rumah sewa ahli di Hayyu Sadis serta pasangan Mutazawwijin sekitar Kaherah.




Akhirnya, Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir mengharapkan moga-moga program agihan Syantoh Ramadan di bulan kemuliaan ini dipandang oleh Allah S.W.T. Di samping itu,dapat menghidupkan suasana di Bulan Ramadan dengan amalan kebaikan serta dapat menggalakkan lagi sesama mahasiswa/wi untuk saling memberi dan menambah pahala di bulan Ramadan.

Isnin, 29 Jun 2015

NGETIH JAUHARI : Kecaknaan Terhadap Isu Semasa

Kaherah, 26 April 2015- Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir BKPJM 14/15  di bawah Unit Kebajikan dan Kemanusiaan telah menganjurkan satu program iaitu ‘Ngetih Jauhari’ yang telah diadakan di Dewan Kuttub Sittah yang melibatkan seluruh  mahasiswa dan mahasiswi BKPJM yang berada di sekitar Kaherah. Antara tujuan program ini dilaksanakan agar menjadikan mahasiswa cakna tentang isu semasa  masa kini seperti isu Rohingya di luar negara serta isu GST yang melanda rakyat Malaysia kini.

     Justeru itu,program ini juga didedahkan dengan pengenalan Rohingya yang telah disampaikan oleh Saudara Helmi bin Norisham.
Antaranya ialah orang Rohingya adalah etnik Muslim yang tinggal di utara negeri Rakhine yang terletak di barat Burma. Kebanyakan populasi Rohingya tertumpu di dua buah badar utara Negeri Rakhine (dulunya dikenal sebagai Arakan). Adapun mengenai isu GST adalah berkaitan dengan harga barang memandangkan asas GST adalah luas. Pedidikan cukai harus diberikan harus diberikan secara berterusan kepada rakyat. Cukai merupakan sumber hasil negara bagi tujuan pembangunan.
  
    Program ini mendapat sambutan yang baik dan menggalakkan dari mahasiswa BKPJM, serta mengharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Dengan adanya program seperti ini juga dapat menambahkan lagi pengetahuan kita selaku seorang mahasiswa yang berilmu.

     

IHTIRAM : Tarbiah Ramadhan Memangkin Generasi Rabbani


KAHERAH, 22 Jun 2015 – Badan Kebajikan Pelajar- Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) di bawah Unit Dakwah & Tarbiah telah menganjurkan sebuah program Ihya’ Tarbawi Ramadhan (IHTIRAM) yang akan berlansung sepanjang bulan Ramadhan. Perasmian program ini  bertempat di Dewan  Kutub Sittah, Asrama Pelajar Johor Rabaah. Objektif yang ingin dicapai daripada program ini ialah menyemai semangat berlumba-lumba membuat amalan kebaikan dalam bulan Ramadhan disamping mengeratkan hubungan tali persaudaraan antara mahasiswa.

            Program ini dimulakan dengan pembacaan kitab Maqasid Siyam yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Syaffarin bin Zainal, Setiausaha Agung Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir  (BKPJM) pada jam 4 petang . Seterusnya perasmian IHTIRAM dibuka dengan bacaan ayat suci Al Quran, dan dimulakan dengan ucapan pengarah IHTIRAM, Yang di-Pertua BKPJM, dan ucapan Pegawai Atase Pendidikan Johor di Mesir, Ustaz Khairi bin Jalaluddin sekaligus merasmikan program Ihya’ Tarbawi Ramadhan kali ini.



            Agenda majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada perasmi program . Hadirin berbuka puasa secara berjemaah  dengan juadah  yang disediakan  setelah solat maghrib.


            Akhir sekali, harapan seluruh badan pelaksana program IHTIRAM agar Ramadhan pada kali ini lebih bermakna di sisi Allah di samping menambah amalan-amalan sunat demi meraih keberkatan serta keredhaan Allah SWT seterusnya melahirkan generasi bertaqwa.

Selasa, 16 Jun 2015

KEDATANGAN DELEGASI KERAJAAN NEGERI JOHOR : Mempererat Hubungan Dua Hala Antara BKPJM dan Kerajaan Negeri


KAHERAH,  10-13 JUN 2015- Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Di Mesir telah bekerjasama dengan pihak Atase Pendidikan Johor untuk menyambut kedatangan delegasi kerajaan negeri Johor yang telah diketuai oleh Y.A.B Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Besar Negeri Johor Darul Takzim.

Tujuan kedatangan delegasi kerajaan Negeri Johor ke Mesir adalah untuk melawat anak-anak Johor di Mesir.

Ketibaan rombongan yang pertama adalah pada 10 Jun 2015 terdiri dari Tuan Haji Abdul Rahim bin Nin, Pengarah Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Negeri Johor dan beberapa orang pegawai tadbir kerajaan yang lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah. Manakala pada 12 Jun 2015, delegasi kerajaan negeri Johor telah tiba yang diketuai oleh Menteri Besar Negeri Johor. Kesemua rombongan ini telah disambut mesra oleh Encik Khairi bin Jalaluddin, Pegawai Atase Pendidikan Johor dan Saudara Usama bin Aris, Yang DiPertua Badan Kebajikan Pelajar Johor Di Mesir 2015 serta barisan pimpinan BKPJM.


Program ramah mesra bersama Y.A.B. Menteri Besar Johor telah diadakan bertempat di Dewan Asrama Pelajar Melayu Abassiah pada sebelah petang. Aturcara telah bermula dengan program Seminar Muafakat Johor yang terdiri dari tiga slot iaitu Slot Pelan Suara Hati Rakyat, Slot Peluang Pekerjaan dan Slot Pembangunan Minyak dan Gas di Pengerang. Program diteruskan pada sebelah malam dengan Ucapan Y.A.B. Menteri Besar Johor dan penyampaian Anugerah Kecemerlangan Mahasiswa dan Mahasiswi Johor dalam bidang Sains Kesihatan dan Pengajian Islam. Seterusnya, penyampaian cenderamata kepada Y.A.B Menteri Besar telah disampaikan oleh T.Y.T Ku Jaafar bin Ku Shaari,Duta Malaysia ke Kaherah seterusnya persembahan nasyid dan jamuan.

Manakala pada hari Sabtu, 13 Jun 2015, rombongan Y.A.B Menteri Besar bersama exco negeri yang lain telah mengadakan kunjungan ke Asrama Pelajar Johor Rabaah. Y.A.B Menteri Besar telah membuka ruang kepada Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir yang diketua oleh YDP BKPJM untuk bertemu dan bersoal jawab serta mengemukakan cadangan dan pandangan untuk kebajikan pelajar Johor dan pembangunan negeri Johor. Saudara Usama bin Aris turut menyampaikan cenderamata kepada Y.A.B Menteri Besar sebagai tanda ingatan dari BKPJM.



Semoga perjumpaan seperti ini dapat diadakan setiap tahun agar hubungan antara dua hala ini dapat memantapkan lagi ukhwah sekaligus memberi manfaat dan kebaikan kepada dua belah pihak. 

Ahad, 26 April 2015

DISKUSI KITAB : Kebangkitan Islam Antara Ancaman dan Cita-cita


KAHERAH, 22 April 2015 – Badan Kebajikan Pelajar- Pelajar Johor di Mesir SESI 2014/2015 (BKPJM) di bawah Unit Dakwah dan Tarbiah telah mengadakan Diskusi kitab As-Sohwah Islamiah Baina Al-Amal Wal Mahazir  (Kebangkitan Islam antara ancaman dan cita-cita) yang bertempat di Dewan  Kutub Sittah, Asrama Pelajar Johor Rabaah. Program bulanan ini diadakan bertujuan untuk  menambah thaqofah  ahli berkenaan kebangkitan umat islam diantara cita-cita dan amaran.

           Program dimulakan selepas waktu Maghrib . Diskusi kitab ini telah disampaikan oleh Saudara Muhammad Ariff bin Hamzah, Penasihat Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) 2014/2014.

           Kitab As-Sohwah Islamiah Baina Al-Amal Wal Mahazir  membincangkan tentang tujuan utama iaitu mengembalikan kesedaran pemuda terhadap peranan mereka dalam menegakkan syi’ar islam.Kebangkitan ini sangat dituntut kerana kelekaan dan kelalaian kita selama ini. Selaku pemuda islam perlu melahirkan kesedaran melalui perasaan, akal dan fikiran yang bersih. Kebangkitan Islam ini bertujuan untuk merialisasikan cita-cita tertinggi iaitu mengembalikan keunggulan Islam di mata dunia. Kita juga perlu berhati-hati dan berwaspada. Dalam kebangkitan juga kita perlu menjaga batas-batas syariah yang telah ditetapkan agar tidak menjadi ancaman kepada kita. Oleh itu, jangan pula kita menjadikan wasilah itu lebih utama dari perkara asas dan dasar yang telah dipandukan oleh agama Islam. 

Program ini diakhiri dengan penyampaian cenderahati dari pihak BKPJM kepada pengisi atas ucapan terima kasih. Semoga program seperti ini dapat mengisi rohani ahli seterusnya moga usaha ini sebagai wasilah untuk memberikan kefahaman yang jelas tentang agama islam.  Diharap seluruh mahasiswa dapat mengambil manfaat daripada pengisian ini. Majlis ditutup dengan bacaan tasbih kafarah dan  surah Al-Asr.

Rabu, 22 April 2015

PROGRAM TARBIAH AULAD BIL AL-QURAN KARIM : Membina Generasi Acuan Al-Quran Bermula Dari Kecil


RABAAH, 19 April 2015 - Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) 2014/2015 telah mengadakan satu program thaqafah anjuran Unit Bait Muslim BKPJM dengan kerjasama Unit Pengetahuan dan Bimbingan BKPJM berkaitan dengan teknik mengajar dan hafazan Al Quran menngunakan cara hijaziyyah yang telah berlangsung di Asrama Pelajar Johor Rabaah.

Antara objektif program ini dilaksanakan adalah untuk mengajar teknik menghafal Al Quran dan mengulang hafalan, meningkatkan thaqafah ahli BKPJM dalam membuat amal ibadah kepada Allah, mengetahui kaedah menghafal nombor dan muka surat dalam Al Quran, membentuk persediaan ahli dalam menghadapi imtihan seterusnya mengeratkan lagi silaturrahim antara ahli Johor dan negeri lain.

Program ini telah disertai oleh pasangan mutazawwijin Johor dan juga dihadiri oleh beberapa pasanga mutazawwijin negeri lain iaitu negeri Kedah. Selain itu, beberapa orang ahli turut menghadirkan diri untuk sama mendapatkan manfaat dari program ini.

Program bermula selepas solat zuhur yang telah di pengerusikan oleh anak Johor sendiri iaitu Saudara Muhammad Syafiq bin Sahimi, mahasiswa Ijazah Sarjana Universiti American Maftuh seterusnya disambung oleh Ustaz Muhammad Jabir Dalul, beliau membacakan daripada ayat-ayat suci Al Quran dan sedikit tazkirah kepada hadirin yang hadir. Selesai bacaan Al Quran program di teruskan dengan pengisian utama yang telah di sampaikan oleh pengisi jemputan iaitu Sheikh Abdullah bin Hijazi berkaitan teknik mengajar dan hafazan Al Quran tarekat hijaziah.

Sebelum program berakhir, pihak penganjur telah memberikan sedikit cendermata kenang-kenangan kepada pengisi jemputan yang telah di sampaikan oleh Pengarah Unit Bait Muslim BKPJM, saudara Muhammad Faiz bin Khalid. Sebelum pulang, pengisi disajikan dengan sedikit jamuan oleh pihak penganjur dan program berakhir selepas asar pada jam 5 petang dengan bacaan kafaratul majlis dan Surah Al-Asr.


 




ZIARAH BAHNASA : Kearah Membentuk Mahasiswa Johor Yang Rabbani



        BAHNASA, 18 April 2015- Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir 2014/2015 sekali lagi telah berjaya melaksanakan program yang diberi nama ‘Jaulah Bahnasa’. Jaulah ini merupakan program ke-4 yang berjaya dilaksanakan di bawah anjuran Unit Sambutan dan Rehlah. Buat julung kalinya, program ini telah membawa ahli untuk menziarahi makam para Auliya’ dan Shuhada’ yang berada di sekitar kota Bahnasa yang selama ini dinanti-nantikan oleh ahli. Program ini juga berjaya dilaksanakan hasil kerja keras dan komitmen yang diberikan oleh ahli jawatankuasa kuasa yang terlibat. Seramai 45 orang peserta telah menyertai untuk mengikuti program yang dianjurkan ini.
  Peserta telah berkumpul seawal jam 5.00 pagi di rumah Johor Rabaah. Setelah kesemua peserta hadir dan berkumpul di rumah Johor Rabaah, mereka diarahkan untuk menaiki dan mula bertolak ke Bahnasa pada jam 6.00 pagi. Perjalanan ke kota Bahnasa telah dimulai  dengan bacaan doa yang dipimpin oleh ketua Unit Sambutan dan Rehlah, Muhamad Noor Shazmi bin Kamari. Semasa dalam perjalanan menuju ke kota Bahnasa, AJK yang bertugas, Mohammad Aminurrashidi Bin Mohd Azlan telah memberikan penerangan serba sedikit berkaitan kota Bahnasa.


            Menempuh perjalan selama hampir tiga jam, akhirnya peserta tiba di kota Bahnasa. Pada awalnya kesemua peserta berkumpul di dalam masjid untuk mendengar taklimat dan peringatan yang telah disampaikan oleh Ainuddin bin Abu jamil. Selesai taklimat, ziarah dari makam ke makam dimulai dari masjid Sheikh Ali Jummam sehingga berakhir di makam tujuh puteri. Pada waktu tengah hari, peserta diberi ruang untuk berehat dan menunaikan solat jamak fardu Zohor dan Asar.  Selesai solat, makan tengah hari pula dihidangkan.
            Setelah menziarahi maqam terakhir, peserta dibawa ke kawasan padang pasir yang luas dan lapang yang merupakan kawasan berlakunya peperangan pembukaan Kota Bahnasa. Ia merupakan kawasan terakhir yang sempat dilawati oleh para peserta sebelum bertolak semula ke Kaherah. Ziarah kali ini telah diakhiri dengan bacaan tasbih kifarah dan surah Al-Asr.

Secara keseluruhannya program ini telah berjaya dilaksanakan atas kerjasama anak-anak Johor yang membantu seca langsung atau tidak langsung. Semoga program in idapat memberikan engalaman yang baru buat para peserta dan menambah keimanan dan thaqafah sekaligus mengambil ibrah dari riwayat kehidupan para Aulia’ dan Syuhada’. 

Jumaat, 10 April 2015

DISKUSI KITAB : Ahdafuna Akhtar Qadaya Muslimin Menjelaskan Matlamat Umat Islam Masa Kini


KAHERAH, 5 April 2015 – Badan Kebajikan Pelajar- Pelajar Johor di Mesir SESI 2014/2015 (BKPJM) di bawah Unit Dakwah dan Tarbiah telah mengadakan Diskusi kitab Ahdafuna Akhtar Qodhoya Al-Muslimin yang bertempat di Dewan  Kutub Sittah, Asrama Pelajar Johor Rabaah. Program bulanan ini diadakan bertujuan untuk  menambah thaqofah  ahli berkenaan matlamat utama keadaan orang-orang muslim.

            Program dimulakan selepas waktu maghrib . Diskusi kitab ini telah disampaikan oleh Saudara Muhammad Ariff bin Haron, Timbalan Yang DiPertua Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) 2014/2014.


            Kitab Ahdafuna Akhtar Qodhoya Al-Muslimin membincangkan tentang tujuan utama manusia diciptakan di bumi Allah. Matlamat yang sebenar-benarnya adalah apabila manusia mendapat redha Allah seterusnya diganjarkan dengan ganjaran syurga. Setiap muslimin mestilah mengetahui peranannya iaitu menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan menyebarkan risalah yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. Oleh itu, Istiqomah adalah perkara terpenting yang perlu dititikberatkan oleh muslimin seluruhnya.


Program ini diakhiri dengan penyampaian cenderahati dari pihak BKPJM kepada pengisi atas ucapan terima kasih. Semoga program seperti ini dapat mengisi rohani ahli seterusnya moga usaha ini sebagai wasilah untuk memberikan kefahaman yang jelas tentang agama islam.  Diharap seluruh mahasiswa dapat mengambil manfaat daripada pengisian ini. 

Majlis ditutup dengan bacaan tasbih kafarah dan  Surah Al-Asr.

Sabtu, 4 April 2015

RIBAT TARBAWI DAN TAZKIRAH SUBUH : Memperkukuh Rohani Mahasiswa Johor






KAHERAH, 3 April 2015 – Badan Kebajikan Pelajar- Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) 2014/2015 di bawah Unit Dakwah dan Tarbiah telah mengadakan Ribat Tarbawi yang bertempat di Dewan  Kutub Sittah, Asrama Pelajar Johor Rabaah. Program bulanan ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah di kalangan mahasiswa di samping menambah pengetahuan ahli.



                Program dimulakan pada jam 4.30 pagi dengan Qiamullail secara berjemaah yang diketuai oleh Ketua Unit Dakwah dan Tarbiah BKPJM, Saudara Muhammad Syaza bin Jamal kemudian diteruskan lagi dengan solat subuh secara berjemaah.

                Selepas itu, program disambung dengan tazkirah subuh yang disampaikan oleh tetamu jemputan iaitu Penasihat BKPJM, Saudara
Mohd Arif bin Hamzah . Tazkirah tersebut bertajuk “Ibadah yang Sohih”. Antara intipati tazkirah tersebut adalah sesuatu ibadah haruslah memenuhi dua rukun iaitu Niat yang Ikhlas dan Al Ittiba’(mengikut Sunnah). Peliharalah hubungan dengan Allah dan manusia. Moga ibadah yang betul mendatangkan jiwa kehambaan.        
      
Program ini diakhiri dengan penyampaian cenderahati dari pihak BKPJM kepada pengisi dan bacaan Surah Al-Asr dan tasbih kifarah. Semoga program seperti ini dapat mengisi rohani ahli seterusnya moga usaha ini sebagai wasilah untuk memberikan kefahaman yang jelas tentang agama islam. Diharap seluruh mahasiswa dapat mengambil manfaat daripada pengisian ini.



Selasa, 24 Mac 2015

EXPERT '15 : Menambah Thaqafah Mahasiswa/wi Johor Berkaitan Ilmu Multimedia dan Kontemporari


KAHERAH, 21 Mac 2015- Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir dibawah Lajnah Penerangan dan Penerbitan BKPJM 2014/2015 telah mengadakan Bengkel EXPERTS ’15 bertempat di Dewan Kutub Sittah, Asrama Pelajar Johor Rabaah. 

Bengkel ini telah bermula pada pukul 8.00 malam dan telah dibentangkan oleh Saudara Muhammad Syaffarin bin Zainal, Setiausaha Agung BKPJM 2014/2015. Antara objektif bengkel ini diadakan adalah untuk memberikan kefahaman asas berkaitan penggunaan Adobe Photoshop disamping menambah pengetahuan berkaitan skil-skil untuk membuat wallpaper,poster dan sebagainya.

Bengkel ini dimulakan dengan penerangan berkaitan teori dan pengenalan asas tentang Adobe Photoshop. Bengkel ini diteruskan lagi dengan sesi praktikal oleh peserta beserta bimbingan dari pengisi serta sesi soal jawab sekitar teknik-teknik dan cara-cara pintas berkaitan pembuatan poster dan seni dalam Adobe Photoshop.


Program telah berakhir sekitar jam 11.15 malam dan ditutup dengan bacaan Surah Al-Asr serta kafarah majlis. Program ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari anak-anak Johor di Mesir. Diharap semoga bengkel-bengkel seperti ini dapat menambahkan thaqafah anak-anak Johor berkaitan ilmu kontemporari dan multimedia sekaligus menyumbang bakat dan hasil seni mereka untuk Islam, insya Allah.